‘Sakau’ TH, semoga Allah hukum mereka sekeras-kerasnya – Dr Danial
Penceramah bebas dan doktor perubatan, Datuk Dr Danial Zainal Abidin mendoakan supaya pihak yang didakwa melakukan kesalahan secara sengaja berkaitan pengurusan Tabung Haji (TH) dikenakan hukuman sewajarnya.
Menurut Danial, jika terdapat pihak yang mengetahui sesuatu perbuatan itu salah tetapi tetap melakukannya secara sedar, mereka tidak seharusnya terlepas daripada tindakan.
“Semoga Allah hukum mereka sekeras-kerasnya. Hukuman dunia, SPRM buatlah. PDRM.
“Tapi jangan doa yang secara sedar buat benda yang salah ini secara sedar. Allah jangan lepaskan mereka. Ya Allah, bagi mereka dapat hukuman-Mu di dunia lagi,” katanya dalam satu ucapan.
Danial berkata, perkara itu melibatkan amanah umat Islam dan perlu dilihat dengan serius, terutama jika kesalahan dilakukan dengan pengetahuan bahawa perbuatan tersebut bertentangan dengan amanah atau peraturan.
Beliau turut membezakan antara kesilapan yang berlaku secara tidak sengaja dengan perbuatan yang dilakukan secara sedar selepas mengetahui sesuatu tindakan itu salah.
“Kalau tersilap itu tak apa. Untuk siapa yang buat ini secara sedar. Dia tahu tak betul, tapi dia buat juga.
“Kalau dia tahu itu silap, secara sedar dia buat juga, Ya Allah, kau hukumkan mereka secukup-cukupnya,” katanya.
Menurut Danial, tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbukti melakukan kesalahan penting bagi memastikan amanah yang berkaitan dengan institusi umat Islam terus dipelihara.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya tidak memandang ringan dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Katanya, tujuan RCI adalah untuk mengenal pasti masalah yang berlaku supaya kerajaan dapat mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikannya.
“RCI nak ceritakan masalah Tabung Haji untuk kerajaan selesaikan dengan elok. Kerajaan tidak sempurna. Ada lagi yang belum selesai.
“Kerajaan jangan pandang ringan bab ini. Jangan pandang kecil bab ini. Ini bab umat. Kamu orang ada kuasa, guna kuasa betul-betul,” katanya.
Danial turut mengingatkan supaya perhatian tidak hanya diberikan kepada penggunaan istilah tertentu dalam laporan RCI, termasuk perkataan “sakau”, sehingga mengabaikan perkara lebih besar yang dibangkitkan.
“Isu yang RCI tekankan bukan isu, dalamnya tak ada pun kalimat sakau, tak ada pun ayat tentang sakau.
“Itu bukan benda pokok. Cuba cari ada tak kalimat sakau? Itu bukan benda pokok.
“Yang benda pokok itu ialah perkara-perkara yang berkaitan salah urus tadbir, narsisisme yang salah, dan seumpamanya. Itu yang perlu dilihat. Bukan cari kalimat sakau,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai kuasa untuk memastikan perkara yang dibangkitkan melalui RCI tidak berakhir sebagai polemik semata-mata, sebaliknya diterjemahkan kepada tindakan pembetulan.
Danial pada masa sama berharap pihak yang melakukan kesalahan secara sengaja dapat mengambil iktibar dan insaf terhadap perbuatan mereka.
“Semoga musibah itu mereka tanggung. Dan semoga dalam keadaan mereka tanggung itu, mereka akan insaf sampai mereka mati.
“Itu doa saya,” katanya.
Danial Zainal Abidin merupakan penceramah bebas, doktor perubatan serta penulis buku motivasi yang banyak membincangkan isu berkaitan Islam, pembangunan diri dan kehidupan masyarakat.
Dalam isu Tabung Haji, beliau menegaskan bahawa perhatian utama perlu diberikan kepada persoalan amanah dan tadbir urus, bukan sekadar polemik mengenai istilah atau dakwaan tertentu.
“Ini bab umat,” katanya.
BACA JUGA Pelaburan KWSP rancak, pendapatan melonjak 48% kepada RM57.5 bilion