FELDA perlu ‘reset’ besar-besaran, forensik Anwar langkah pertama pulihkan peneroka

Langkah Kerajaan MADANI menjalankan siasatan forensik terhadap FELDA disifatkan sebagai permulaan penting untuk membersihkan institusi itu daripada isu lama, namun ia tidak boleh berhenti setakat pendedahan ketirisan semata-mata.

Aktivis generasi kedua dan ketiga FELDA, Ridhuan Esa berkata, pendekatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu digerakkan secara serentak membongkar salah laku masa lalu sambil melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap model perniagaan dan pengurusan FELDA.

Menurutnya, siasatan forensik melibatkan dakwaan ketirisan sehingga RM10 bilion wajar disokong kerana ia sebahagian daripada usaha pembersihan institusi, selain selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Namun katanya, usaha itu tidak akan memberi kesan besar jika tidak disusuli pelan pemulihan ekonomi yang jelas untuk peneroka.

“PMX perlu buat dua benda serentak. Satu, teruskan forensik untuk hukum perompak dana FELDA. Dua, laksanakan segera Pelan Strategik FELDA 2025-2030 supaya masalah ekonomi peneroka di ladang dapat diselesaikan,” katanya dalam kenyataan bertajuk FELDA: Forensik dan Pemulihan Melalui Hala Tuju Baru.

Ridhuan berkata, FELDA sebelum ini sudah melalui pelbagai fasa pemulihan termasuk Lab FELDA, Kertas Putih 2019, pasukan petugas khas serta suntikan dana berbilion ringgit kerajaan, namun pendekatan itu masih berlegar dalam model lama yang bergantung kepada bantuan kewangan dan penghapusan hutang.

Katanya, perubahan sebenar kini bergantung kepada pelaksanaan Pelan Strategik dan Hala Tuju Kumpulan FELDA 2025-2030 yang telah diserahkan kepada kerajaan pada April 2025.

Antara cadangan utama pelan itu termasuk usaha FELDA menguasai lebih 90 peratus saham FGV Holdings Berhad bagi menyatukan operasi dan mengurangkan pertindihan kuasa.

“Cuma persoalannya, apa isi pelan ini untuk peneroka? Bila nak laksana sampai ke peringkat ladang? Ini yang peneroka tunggu,” katanya.

Ridhuan berkata, reformasi FELDA tidak boleh hanya berlaku di peringkat korporat kerana masalah sebenar seperti hasil rendah, kos tinggi, isu tanam semula dan hutang bermula di ladang.

Menurutnya, peneroka yang mengurus ladang sendiri mampu mencapai hasil 20 hingga 25 tan sehektar setahun, berbanding sekitar 17 hingga 19.5 tan di bawah pengurusan FELDA.

Beliau turut menegur isu tanam semula yang masih menjadi rungutan, termasuk kelewatan jadual, kualiti anak benih dan kelemahan pelaksanaan di lapangan.

“Bila ladang diurus sendiri, hasil lebih tinggi. Jadi FELDA kena buka ruang lebih luas, termasuk benarkan hasil dihantar terus ke kilang tanpa terlalu banyak orang tengah,” katanya.

Ridhuan turut mencadangkan sistem bayaran hasil dipercepatkan bagi membantu aliran tunai peneroka.

“Bayar sebulan sekali dah lapuk. Kalau boleh, buat mingguan atau harian supaya peneroka lebih kompetitif,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata Koperasi Permodalan FELDA (KPF) juga perlu melalui penstrukturan semula termasuk isu prestasi perniagaan, aset beku dan pembayaran penebusan saham ahli.

Katanya, pelantikan kepimpinan baharu FELDA daripada kalangan teknokrat dan pakar kewangan memberi ruang untuk pembaharuan lebih profesional, termasuk membetulkan kelemahan pengurusan dan kebocoran kos.

Ridhuan menegaskan, kejayaan reformasi FELDA tidak boleh diukur hanya melalui jumlah ketirisan yang dibongkar, sebaliknya mesti dilihat pada peningkatan pendapatan peneroka dan produktiviti ladang.

“Kalau ladang diurus FELDA, hasil kena tinggi dan hutang kena turun. Kalau peneroka urus sendiri, mereka nak dipermudahkan, bukan disusahkan,” katanya.

Beliau berkata, pendedahan isu lama penting untuk akauntabiliti, namun ia mesti seiring dengan penyelesaian ekonomi supaya FELDA tidak terus terperangkap dalam kitaran masalah yang sama.

“Kalau hanya dedah skandal tapi ekonomi tak berubah, FELDA, peneroka dan generasi muda tak ke mana,” katanya.

Ridhuan berkata, gabungan siasatan forensik dan pelaksanaan Pelan Strategik 2025-2030 merupakan peluang terbaik untuk FELDA melakukan ‘reset’ besar-besaran, namun ia perlu segera diterjemahkan di peringkat ladang supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada peneroka.

BACA JUGA Beda pandangan soal judi, jangan terus tuduh orang kufur – Dr Maza