Integriti penjawat awam makin baik, KSN dedah tanda-tanda positif
Tahap integriti dalam kalangan penjawat awam menunjukkan perkembangan positif, susulan pelbagai usaha kerajaan untuk memperkukuh nilai integriti dan tadbir urus dalam perkhidmatan awam.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi kesan beberapa inisiatif dan mekanisme yang diperkenalkan kerajaan bagi membudayakan integriti dalam kalangan penjawat awam.
Menurut beliau, antara usaha berkenaan termasuk pelaksanaan pelbagai produk integriti kerajaan seperti Anugerah Integriti dan Governans, yang disifatkan mula menunjukkan impak memberangsangkan.
“Semua produk integriti ini kita buat untuk memperbaiki serta memperkasakan integriti dalam kalangan penjawat awam.
“Alhamdulillah sehingga kini, ia telah menunjukkan tanda-tanda usaha kita itu sudah mula berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Integrity Fun Walk 2026 di sini, hari ini.
Shamsul Azri yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia berkata, usaha memperkukuh integriti tidak seharusnya hanya tertumpu kepada penjawat awam, sebaliknya perlu menjadi amalan seluruh masyarakat.
Katanya, program berkenaan menjadi antara platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan integriti serta menggalakkan orang ramai mengamalkan nilai berkenaan dalam kehidupan seharian.
Program yang merangkumi kategori larian sejauh tiga dan lima kilometer itu disertai kira-kira 2,000 peserta membabitkan penjawat awam, agensi kerajaan dan wakil pertubuhan bukan kerajaan.
Menurut Shamsul Azri, aspek paling penting yang ingin diterapkan menerusi program itu ialah pemahaman bahawa integriti bukan sekadar melakukan perkara yang betul ketika diperhatikan.
“Perkara paling penting bagi program ini ialah kita hendak menerapkan kepada semua masyarakat dan juga penjawat awam, bahawa integriti ini bermaksud melakukan sesuatu yang baik tanpa dilihat orang,” katanya.
Beliau berkata budaya integriti yang kukuh memerlukan penghayatan berterusan, bukan sekadar melalui kempen atau program yang dilaksanakan dari semasa ke semasa.
Usaha memperkasakan integriti itu juga penting bagi memastikan perkhidmatan awam terus mendapat kepercayaan masyarakat serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berkesan.
BACA JUGA Beda pandangan soal judi, jangan terus tuduh orang kufur – Dr Maza