Tiga tahun dah cukup PH buat kerja, Pas boleh pula pegang Kelantan lebih 30 tahun

Tempoh tiga tahun sudah cukup untuk sesebuah kerajaan membuktikan kesungguhan, kata Naib Presiden Pas, Datuk Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menempelak Pakatan Harapan (PH).

Walhal, rekod Pas yang sudah lebih 30 tahun mentadbir Kelantan menyaksikan masalah air ‘teh tarik’ pun masih berlarutan.

Tanpa bercermin diri, Mohd Amar berkata, kerajaan yang benar-benar mahu melakukan sesuatu sebenarnya mampu melaksanakan banyak perkara walaupun diberikan tempoh yang singkat.

“Kalau seseorang itu benar-benar mahu melakukan sesuatu, dalam tempoh yang singkat pun banyak perkara boleh dilaksanakan.

“Sebaliknya, kalau tidak ada kesungguhan, diberikan tempoh tiga tahun pun belum tentu ada perkara dapat dilakukan,” katanya dipetik lidah rasmi Pas, Harakah Daily hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kelantan itu berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek bahawa perjuangan parti itu dan agenda PH masih belum selesai selepas lebih tiga tahun Kerajaan MADANI mentadbir negara.

Namun hujah Mohd Amar itu secara tidak langsung membuka ruang untuk rakyat Kelantan menggunakan kayu ukur sama terhadap pentadbiran Pas yang memerintah negeri berkenaan secara berterusan sejak 1990.

Jika tiga tahun dianggap tempoh yang cukup panjang untuk menilai kesungguhan sesebuah kerajaan, lebih 30 tahun tentunya memberikan tempoh jauh lebih daripada mencukupi untuk Pas menunjukkan perubahan besar dalam pembangunan negeri dan kehidupan rakyat Kelantan.

Realitinya, kegagalan pentadbiran kerajaan Pas di Kelantan dari segi ekonomi dan sosial terus menjadi perbualan rakyat dari semasa ke semasa.

Selain masalah bekalan air bersih yang belum selesai, rakyat Kelantan masih bergelut dengan kadar penyalahgunaan dadah, kemiskinan kedua tertinggi, peningkatan kes jenayah seksual serta pengangguran melebihi purata nasional.

BACA JUGA PN makin serabut, Marzuki tempelak Takiyuddin pasal surat tunjuk sebab Bersatu