PH buka pintu kepada BN, tapi ini satu syarat penting menjelang PRN Melaka

Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk meneruskan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Walau bagaimanapun, PH mahu sebarang persefahaman dimuktamadkan secara jelas supaya tidak timbul kekeliruan pada kemudian hari.

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Datuk Aiman Athirah Al Jundi berkata, apa juga bentuk perbincangan antara PH dan BN perlu meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, bukannya sekadar soal pembahagian kuasa.

Menurutnya, PH sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berkongsi komitmen terhadap tadbir urus baik, kestabilan politik, pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Namun, kata Ahli Parlimen Sepang berkenaan, jika kerjasama PH-BN memerlukan satu persefahaman atau perjanjian lebih awal, perkara itu wajar diperincikan dan dimuktamadkan sebelum menghadapi pilihan raya.

“Kita tidak mahu timbul lagi persoalan mengenai sesuatu kerjasama yang dikatakan tidak bertulis, tiada konsensus atau tidak mempunyai garis panduan yang jelas.

“Sebuah kerjasama politik yang matang perlu berasaskan kepercayaan, prinsip dan kesepakatan yang dipersetujui bersama,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kesejahteraan rakyat

Aiman Athirah yang juga Ketua Wanita PH turut menegaskan bahawa bagi PH, kestabilan politik bukan semata-mata berkisar mengenai siapa mendapat kuasa.

Sebaliknya, kata beliau, ia mempunyai kesan langsung terhadap keyakinan pelabur, kekuatan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah kestabilan pentadbiran membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan dan memastikan manfaat ekonomi dapat diterjemahkan kepada kehidupan rakyat.

“Apa jua keputusan yang dibuat, keutamaan kita tetap sama, iaitu memastikan rakyat Melaka dan seluruh negara mendapat sebuah pentadbiran yang stabil, berintegriti dan benar-benar berkhidmat untuk mereka,” kata Aiman Athirah lagi.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan rundingan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN) dan BN bagi menghadapi PRN Melaka telah dimulakan sejak tiga hari lalu.

Namun, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam berkata, sebarang keputusan mengenai strategi dan kerjasama politik bagi menghadapi PRN Melaka perlu mengambil kira sentimen tempatan.

Ahmad Zahid berkata, BN perlu mengambil pendekatan politik yang sesuai dengan realiti memandangkan sentimen di Melaka agak berbeza berbanding di Johor dan Negeri Sembilan.

Mandat semasa kerajaan negeri Melaka akan berakhir pada penghujung Disember ini.

Dalam PRN Melaka 2021, BN menang besar dengan menguasai 21 daripada 28 kerusi manakala PH lima dan PN dua.

Namun, PH telah menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri pada Julai lalu selepas lima ADUN PH menolak pindaan Perlembagaan Negeri berhubung pewujudan ADUN lantikan.

BACA JUGA Masa berkuasa tubuh RCI Tabung Haji, bila laporan keluar Pas pula jerit ‘Islam diserang’