‘Selagi kudrat dan masa masih tersisa’, Anwar janji terus guna kuasa untuk islah negara
Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan sirah pembinaan negara Madinah oleh Nabi Muhammad SAW sebagai cerminan kepada usaha Kerajaan MADANI membina Malaysia yang lebih adil, aman dan menjaga kebajikan rakyat.
Perdana Menteri berkata, kejayaan Rasulullah SAW membangunkan Madinah lebih 14 kurun lalu bukan berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya melalui proses islah yang panjang sehingga berjaya membentuk masyarakat dengan akal budi, akhlak serta kematangan sosial yang tinggi.
Menurutnya, antara kekuatan utama pentadbiran Madinah ialah kemampuan Rasulullah SAW mendamaikan pertembungan Aus dan Khazraj, sekali gus membina perpaduan yang menjadi asas kepada kestabilan masyarakat.
Beliau turut mengaitkan pendekatan itu dengan tuntutan memastikan keperluan asas rakyat terjamin serta keamanan negara dipelihara, sebagaimana pedoman dalam Surah Quraysh yang menekankan soal makanan dan keselamatan daripada ketakutan.
“Keperluan asas harus terjamin dan keamanan nyata amat penting,” katanya menerusi perkongsian sempena mengenang sirah perjuangan Nabi Muhammad SAW.
Pemerataan ekonomi
Menerusi perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul hari ini, Anwar berkata, Madinah turut memperlihatkan sebuah pentadbiran yang tidak meminggirkan golongan miskin dan lemah, selain memberi ruang kepada masyarakat berbeza untuk hidup bersama secara aman.
Malah katanya, amalan monopoli turut disingkirkan bagi membentuk pemerataan ekonomi yang lebih saksama, sementara hubungan dengan dunia luar dibina berteraskan mesej keamanan dan keadilan.
Bagi Anwar, prinsip tersebut kekal relevan untuk Malaysia hari ini, biarpun cabaran mentadbir sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 jauh berbeza dengan keadaan Madinah lebih 1,400 tahun lalu.
“Tentunya tidak mudah membangunkan sebuah negara majmuk di Asia Tenggara pada abad ke-21 ini dengan segala kemelut dan simpang-siur politiknya.
“Namun kita akan terus berusaha, selagi kudrat dan masa masih tersisa, bagi melakukan perubahan dan islah menggunakan kuasa yang diamanahkan Allah SWT,” katanya.
Anwar menegaskan setiap pemimpin sewajarnya mendambakan yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang, sambil mendoakan supaya Malaysia terus diberkati dengan keamanan, kasih sayang serta rezeki yang baik.
Pendekatan itu selari dengan gagasan “MADANI Dihayati, Ummah Diberkati”, yang menempatkan keadilan, kebajikan rakyat, kestabilan dan ihsan sebagai antara asas dalam mengurus negara.
BACA JUGA Melaka Presiden Pas boleh sampai, sidang Parlimen pula kerap ‘uzur’