Tun Faisal dakwa Musyawarah Nasional 2.0 kelirukan isu Tabung Haji

Kenyataan bahawa Jabatan Audit Negara (JAN) tidak menemukan masalah dalam Tabung Haji (TH) dipersoalkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, yang mendakwa Musyawarah Nasional 2.0 telah memberikan gambaran mengelirukan mengenai isu kewangan dan tadbir urus institusi berkenaan.

Menurut Tun Faisal, masalah dalam TH bukan perkara yang hanya dikenal pasti menerusi laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI), sebaliknya telah disentuh dalam beberapa proses audit dan semakan terdahulu.

Katanya, JAN, PricewaterhouseCoopers (PwC) dan Ernst & Young (EY) turut mengenal pasti pelbagai isu berkaitan kedudukan kewangan serta pelaburan TH dalam tempoh sekitar 2014 hingga 2020.

“JAN kata Tabung Haji tidak ada masalah, tetapi RCI kata TH ada masalah. Itu bukan gambaran yang tepat.

“Cerita sebenarnya JAN sendiri menemui masalah dalam Tabung Haji,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Tun Faisal berkata RCI pula melihat isu berkenaan dalam skop yang lebih luas, termasuk aspek tadbir urus dan pengurusan yang menurutnya tidak boleh dipisahkan daripada persoalan kedudukan kewangan institusi itu.

“RCI pula melihat masalah tersebut dari sudut yang lebih luas dan lebih serius. Masalah dalam TH memang wujud,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan kenyataan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, yang dilaporkan berkata beliau tidak menemukan bukti kecurian dalam TH ketika mengetuai JAN dari 2017 hingga 2019.

Madinah sebelum ini menjelaskan bahawa Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2017 yang dijalankan bersama pasukannya dibuat berdasarkan piawaian serta bukti audit yang diperoleh.

Bagaimanapun, Tun Faisal berkata perkara itu tidak bermakna semua persoalan berkaitan TH telah selesai hanya berdasarkan hasil audit penyata kewangan.

Menurutnya, skop kerja JAN, PwC dan EY adalah berbeza dan tidak wajar disamakan dengan audit forensik.

“JAN menjalankan audit terhadap penyata kewangan rasmi TH, manakala PwC menyemak kedudukan kewangan TH, termasuk perkara yang timbul daripada teguran audit JAN.

“EY bukan auditor penyata kewangan TH, tetapi diberi tugasan lebih khusus, antaranya menyemak kewangan pro forma,” katanya.

Beliau berkata perbezaan skop tersebut penting untuk difahami kerana audit penyata kewangan tidak semestinya menjawab semua persoalan berkaitan kemungkinan salah guna wang, transaksi mencurigakan atau unsur penipuan.

Dalam pada itu, Tun Faisal turut mempersoalkan cadangan supaya RCI baharu diwujudkan serta penglibatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam meneliti isu TH.

Katanya, setiap mekanisme mempunyai fungsi dan bidang tugas tersendiri dan kekeliruan mengenainya hanya akan mengaburkan persoalan sebenar.

Malah, beliau mendakwa cadangan RCI baharu atau proses tambahan menerusi PAC boleh dijadikan alasan untuk “membeli masa” sekiranya tiada kejelasan mengenai matlamat dan skop siasatan.

“Jika masih ada persoalan tentang kemungkinan salah guna wang, transaksi mencurigakan atau fraud, persoalan tersebut tidak semestinya selesai hanya kerana penyata kewangan telah diaudit,” katanya.

Tun Faisal berkata perdebatan mengenai TH sepatutnya beralih daripada soal siapa yang menemukan masalah kepada persoalan apakah tindakan perlu diambil sekiranya wujud pelanggaran atau salah laku.

Pada masa sama, beliau menegaskan fungsi RCI, PAC, JAN dan audit forensik perlu dibezakan supaya orang ramai tidak keliru mengenai peranan setiap institusi.

Pertikaian mengenai perkara itu muncul ketika laporan RCI TH terus menjadi bahan perdebatan politik, termasuk dakwaan bahawa dapatan suruhanjaya berkenaan perlu dilihat dalam konteks lebih luas berbanding audit kewangan biasa.

Bagi Tun Faisal, persoalan pokok bukan sama ada TH pernah diaudit atau tidak, tetapi sama ada semua isu yang dikenal pasti melalui pelbagai proses audit dan semakan telah dijawab serta diambil tindakan sewajarnya.

Jadi, kalau audit dah dibuat tetapi masih ada persoalan tentang transaksi dan tadbir urus, persoalannya sekarang bukan “TH ada masalah atau tidak?” tetapi “masalah yang sudah dikesan itu, siapa yang perlu jawab?”

BACA JUGA Reformasi MADANI bawa Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dunia