Anwar rayu doa rakyat Malaysia, 54 masih belum dapat dikesan di Nepal
Usaha mengesan 54 rakyat Malaysia yang masih gagal dihubungi selepas bencana banjir kilat melanda daerah Rasuwa, Nepal sedang giat dijalankan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata beliau berdukacita menerima perkhabaran mengenai bencana yang mengakibatkan kemusnahan besar di kawasan berkenaan.
“Saya juga amat terkesan apabila dimaklumkan oleh Kementerian Luar Negeri (KLN) bahawa 54 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi setakat ini dan usaha mengesan serta mendapatkan perkembangan mengenai keadaan mereka sedang giat dilakukan,” katanya.
Menurut Anwar, Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal serta agensi berkaitan bagi mendapatkan maklumat mengenai keadaan rakyat Malaysia yang terjejas.
Katanya, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh turut digerakkan bagi membantu memperkukuh penyelarasan usaha di lapangan.
“Kerajaan MADANI menerusi KLN akan terus memantau perkembangan ini dengan teliti dan menggembleng segala ikhtiar yang diperlukan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat Malaysia yang terjejas diberi keutamaan,” katanya menerusi kenyataan di media sosial hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bersama-sama mendoakan keselamatan kesemua 54 individu berkenaan.
“Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan agar kesemua mereka segera ditemui dalam keadaan selamat dan segala usaha mencari serta menyelamat dipermudahkan.
“Insya-Allah,” katanya.
Bencana banjir kilat yang melanda daerah Rasuwa, kawasan berhampiran sempadan Nepal-Tibet, dilaporkan menyebabkan kemusnahan besar selain menjejaskan akses serta komunikasi di kawasan terlibat.
Perkembangan itu turut menyukarkan usaha mendapatkan maklumat segera mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
Buat masa ini, usaha kerajaan tertumpu kepada mendapatkan perkembangan mengenai keadaan 54 rakyat Malaysia terbabit melalui kerjasama dengan pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan
BACA JUGA Kritik PM pun tak boleh jadi tiket tindakan disiplin, Anwar beri amaran