SPRM dapat ‘lampu hijau’, bekas menteri diheret ke mahkamah esok

Seorang bekas menteri dijangka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur jam 9 pagi esok atas pertuduhan rasuah.

Dia dijangka berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang berkaitan dengan perbuatan meminta, menerima, memberi, menjanjikan atau menawarkan suapan secara rasuah.

Menerusi satu jemputan media yang dikeluarkan hari ini, SPRM memberitahu bahawa telah mendapat izin untuk mendakwa bekas menteri terbabit.

Kesalahan di bawah Seksyen 16 boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun.

Denda pula tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang terlibat atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Difahamkan, menteri berkenaan mempunyai kaitan dengan siasatan SPRM pada 29 Disember 2025.

Kes di bawah Seksyen 16 yang sama juga terhadap seorang bekas menteri kerana disyaki menerima kira-kira RM5 juta dan sebuah Lamborghini, berkaitan projek papan iklan serta pemindahan tanah di Kuala Lumpur.

Dalam masa sama, media turut menggambarkan bahawa menteri berkenaan dipercayai telah berkhidmat dari 2020 hingga 2022.

BACA JUGA Tak payah ‘blur’ sangat kaki sakau duit TH, prosiding reman buat rakyat makin celik