Isu lesen judi: PKR Kedah dakwa Sanusi cuba ‘campak’ kegagalan kepada PMX
Pertikaian mengenai lesen premis perjudian di Kedah kembali menjadi polemik politik selepas PKR Kedah mendakwa Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor cuba mengalihkan kegagalan pentadbiran negeri kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah, Tunku Nashrul Abaidah, berkata tindakan tersebut tidak wajar kerana isu berkenaan berpunca daripada keputusan pentadbiran kerajaan negeri sebelum dicabar melalui proses kehakiman.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau mengecam kenyataan Sanusi yang didakwanya melemparkan kesalahan kepada Anwar berhubung isu lesen premis perjudian di negeri berkenaan.
Menurut Tunku Nashrul, tindakan pentadbiran pimpinan Sanusi berkaitan perkara itu sebelum ini telah dibatalkan selepas mahkamah mendapati kerajaan negeri melampaui bidang kuasanya.
Beliau turut merujuk kepada keputusan mahkamah yang menyaksikan permohonan untuk mendapatkan kebenaran merayu ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
“Malaysia mengamalkan pemisahan kuasa antara tiga cabang utama, yakni badan perundangan, eksekutif dan kehakiman,” katanya.
Sehubungan itu, Tunku Nashrul menegaskan keputusan mahkamah tidak seharusnya dipolitikkan dengan menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran, memandangkan keputusan tersebut dibuat melalui proses kehakiman.
Beliau berkata kes berkenaan bermula daripada keputusan pentadbiran kerajaan negeri, sebelum dicabar pihak pengendali dan akhirnya diputuskan oleh badan kehakiman secara bebas.
Lebih menarik, PKR Kedah turut mengungkit rekod jumlah cabutan khas judi ketika Pas berada dalam pentadbiran Persekutuan di bawah kerajaan Perikatan Nasional.
Tunku Nashrul mendakwa jumlah cabutan khas judi ketika itu meningkat daripada lapan kepada 22 kali setahun, sedangkan jumlah tersebut menurutnya kembali diturunkan kepada lapan kali setahun selepas Anwar menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
Dalam kenyataan sama, beliau menyifatkan tindakan menyalahkan Anwar sebagai usaha mengalihkan perhatian daripada kelemahan pentadbiran sendiri dan menggesa Sanusi menjawab isu berkenaan berdasarkan fakta serta bidang kuasa sebenar kerajaan negeri.
“Sanusi, usah alih tiang gol, sila jawab kekalahan pentadbiran sendiri secara berfakta dan berhenti menjadikan Perdana Menteri sebagai sasaran,” katanya.
Pertikaman lidah itu menambah satu lagi dimensi kepada polemik antara kerajaan negeri Kedah pimpinan Pas dengan kerajaan Persekutuan, khususnya berhubung persoalan bidang kuasa, dasar perjudian dan sejauh mana keputusan kerajaan negeri boleh dipertikaikan melalui proses kehakiman.
BACA JUGA Tak payah ‘blur’ sangat kaki sakau duit TH, prosiding reman buat rakyat makin celik