Bendera terbalik di Wisma MCA, Pemuda AMANAH tanya kali ini siapa nak marah?
Pemuda AMANAH Perak menyifatkan kejadian Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak yang dipasang terbalik di Wisma MCA Perak sebagai perkara serius.
Ketuanya, Khairol Najib Hashim mengingatkan semua pihak supaya tidak mengamalkan “double standard” dalam soal patriotisme.
Menurutnya, kesilapan dan kecuaian boleh berlaku, namun apabila melibatkan simbol rasmi negara serta negeri, perkara itu tidak wajar dipandang ringan.
Beliau berkata, keadaan itu lebih perlu diberikan perhatian kerana berlaku di premis sebuah parti politik yang sudah puluhan tahun berada dalam landskap politik negara.
“Jalur Gemilang dan bendera negeri Perak bukan sekadar hiasan.
“Kedua-duanya membawa identiti dan maruah yang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira kaum, agama mahupun parti politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Khairol menegaskan orang ramai tidak harus terus membuat kesimpulan bahawa pemasangan bendera secara terbalik itu dilakukan dengan sengaja sebelum punca sebenar diketahui.
Katanya, prinsip sama perlu digunakan apabila insiden seumpama itu berlaku di tempat lain, termasuk tidak terlalu cepat melabel pihak tertentu sebagai tidak patriotik atau menjadikan kesilapan sebagai modal politik.
“Jangan pilih bulu dalam soal patriotisme.
“Kalau kesilapan orang lain kita tuntut penjelasan, apabila berlaku di premis sendiri juga perlu berani memberikan penjelasan,” tegasnya.
Sehubungan itu, Pemuda AMANAH Perak menggesa MCA Perak tampil memberikan penjelasan, memohon maaf atas kecuaian tersebut serta memastikan kejadian sama tidak berulang.
Pada masa sama, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak mengeksploitasi insiden itu bagi membakar sentimen perkauman atau mencetuskan kebencian.
Sebaliknya, kata Khairol, semua pihak perlu membezakan antara kecuaian dengan penghinaan yang dilakukan secara sengaja.
“Patriotisme bukan pertandingan siapa paling kuat marah apabila orang lain melakukan kesilapan.
“Patriotisme adalah apabila kita berpegang kepada prinsip yang sama, termasuk apabila kesilapan itu berlaku di halaman sendiri,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Heboh bendera terbalik di Wisma MCA, ramai ‘cari’ Akmal Saleh