Ringgit dah cecah RM4.02, pakar ramal apa pula minggu depan?

Ringgit dijangka terus mendapat sokongan minggu depan ketika pasaran menanti keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar faedah, dengan bank pusat itu dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Jangkaan berkenaan hadir ketika ringgit menunjukkan prestasi memberangsangkan minggu ini, termasuk mengukuh kepada RM4.0230/4.0270 berbanding dolar AS pada Jumaat, berbanding RM4.0365/4.0405 pada minggu sebelumnya.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, beliau tidak melihat sebarang sebab untuk BNM mengubah pendirian dasar monetarinya ketika ini.

Beliau berkata, ekonomi negara berkembang pada kadar kukuh seperti yang dicerminkan menerusi pertumbuhan enam peratus pada suku kedua 2026.

“Pada masa yang sama, inflasi kekal terkawal. Walaupun meningkat, kadarnya masih pada tahap sederhana.

“Pada Jun 2026, inflasi meningkat sebanyak 1.9 peratus (suku kedua 2026) berbanding 1.6 peratus pada suku pertama,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, memandangkan BNM berkemungkinan mengekalkan kadar faedah, keputusan itu dijangka menjadi pemangkin positif kepada ringgit.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari BNM dijadual berlangsung pada 3 September, sekali gus menjadi antara tumpuan utama pelabur terhadap hala tuju mata wang tempatan.

Mengenai prospek kadar faedah Amerika Syarikat (AS), Mohd Afzanizam berkata kadar itu tidak dijangka dinaikkan susulan keadaan pasaran buruh yang lebih lemah pada Julai serta perkembangan terkini membabitkan intervensi Perbendaharaan AS dalam pasaran bon jangka panjang.

Beliau menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran kecil antara RM4.03 dan RM4.04 minggu depan menjelang pengumuman data penggajian bukan ladang (NFP) AS dan data ISM.

Katanya, kedua-dua petunjuk itu akan menjadi antara data utama yang dipantau peserta pasaran.

“Berdasarkan konsensus, NFP dijangka merekodkan penciptaan pekerjaan berjumlah 45,000 pada Ogos berbanding penguncupan 23,000 pekerjaan pada Julai,” katanya.

Sementara itu, ahli strategi global Quintex Intel, Stephen Innes menjangkakan ringgit diniagakan dalam jajaran terhad pada awal minggu depan ketika tumpuan pasaran beralih kepada laporan NFP AS yang dijadualkan dikeluarkan pada 4 September.

“Laporan NFP AS berpotensi untuk menggerakkan pasaran kadar faedah AS dan seterusnya dolar AS,” katanya.

Menurut Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB), ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Kevin Warsh, akan menjadi pemangkin segera kepada pasaran, manakala data penggajian dijangka mempengaruhi jangkaan pasaran menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 15 dan 16 September.

Pasaran turut dijangka memantau perkembangan AS-Iran, khususnya laporan bahawa Tehran sedang membuat persediaan untuk membuka semula Selat Hormuz yang berpotensi mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak.

Dalam pada itu, Kenanga IB memaklumkan BNM dijangka mengekalkan OPR pada 2.75 peratus, justeru ringgit bakal dipacu terutamanya oleh kadar faedah global dan pegangan dolar AS.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat berbanding dolar AS kepada RM4.0230/4.0270 daripada RM4.0365/4.0405 pada minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, unit tempatan turut diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding pound Britain kepada RM5.4632/5.4687 daripada RM5.5118/5.5173 pada Jumaat minggu sebelumnya, meningkat berbanding yen Jepun kepada RM2.5193/2.5219 daripada RM2.5449/2.5476 dan menokok berbanding euro kepada RM4.6828/4.6874 daripada RM4.7227/4.7274.

Unit tempatan turut mencatat pengukuhan berbanding beberapa mata wang negara ASEAN.

Ringgit meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.46/6.47 daripada 6.54/6.55, naik berbanding dolar Singapura kepada 3.1652/3.1686 daripada 3.1809/3.1843, menokok berbanding rupiah Indonesia kepada 227.3/227.7 daripada 228.1/228.4 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.2087/12.2253 daripada 12.3474/12.3638.

— BERNAMA

BACA JUGA Kerajaan MADANI macam orang gila – Nik Zawawi