Agong terima menghadap Anwar, titah sambutan merdeka esok diharap berjalan lancar

Persiapan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal berlangsung esok antara perkara yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika menerima menghadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini.

Pertemuan itu berlangsung di Istana Bukit Tunku, dengan Seri Paduka Baginda turut menerima pelbagai perkembangan terkini berkaitan keadaan semasa negara.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Anwar pada 30 Ogos.

Antara yang dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ialah perkembangan terkini negara serta persiapan bagi sambutan Hari Kemerdekaan yang akan berlangsung esok.

Sultan Ibrahim dalam titahnya berharap segala persiapan dan sambutan berkenaan dapat berlangsung dengan lancar.

“Saya berharap sambutan kemerdekaan berlangsung dengan lancar dan tidak sabar untuk menyaksikan semua pihak yang terlibat memberikan usaha sebaiknya dalam memperingati peristiwa yang cukup penting dalam sejarah negara kita,” titah Seri Paduka Baginda.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dijadual berlangsung esok, bertepatan dengan 31 Ogos, bagi memperingati hari bersejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.

BACA JUGA Kerajaan MADANI macam orang gila – Nik Zawawi