Enam langkah bukti Kerajaan MADANI mendengar, menilai dan bertindak – Teriak AMK

Pengumuman enam ikhtiar tambahan kerajaan sempena Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 disifatkan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) sebagai bukti pentadbiran MADANI semakin responsif terhadap keperluan dan tekanan yang dihadapi rakyat.

Setiausaha AMK, Omar Mokhtar A Manap, berkata langkah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu merangkumi isu kos sara hidup, pendidikan, peluang digital anak muda, kesihatan awam serta kelangsungan perniagaan kecil.

Menurutnya, antara pengumuman yang memberi manfaat langsung kepada rakyat ialah pengembalian kelayakan BUDI95 kepada 300 liter sebulan dan BUDI Diesel kepada 400 liter sebulan.

Kerajaan turut meningkatkan peruntukan penyelenggaraan sekolah bagi 2027 kepada RM1.5 bilion, selain menyediakan langganan aplikasi AI secara percuma selama tiga bulan kepada 100,000 belia berusia 18 hingga 30 tahun.

“Kerajaan MADANI mendengar, menilai dan bertindak,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Omar berkata lebih bermakna, sebahagian langkah berkenaan merupakan aspirasi dan tuntutan yang pernah dibawa AMK dalam Kongres Nasional KEADILAN baru-baru ini.

Katanya, perkembangan itu membuktikan suara anak muda dan akar umbi mempunyai ruang dalam proses pembentukan dasar kerajaan.

Selain itu, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi mempercepat pendigitalan sektor kesihatan awam melibatkan 150 hospital dan 2,000 klinik kesihatan.

Ambang pengecualian e-Invois pula dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, manakala RM200 juta Geran Sejahtera MADANI disediakan dan tambahan RM1 bilion diberikan kepada pembiayaan perniagaan mikro bagi 2026, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 bilion.

Omar berkata langkah berkenaan menunjukkan reformasi ekonomi dan keprihatinan sosial tidak seharusnya dilihat sebagai dua agenda berasingan.

“Ekonomi mesti diperkukuh supaya hasilnya dapat dikembalikan kepada rakyat melalui sekolah yang lebih baik, rawatan yang lebih cekap, peluang baharu untuk anak muda, bantuan kepada peniaga kecil serta perlindungan terhadap tekanan kos kehidupan,” katanya.

Beliau berkata AMK akan terus menjadi penghubung antara suara anak muda dan kerajaan dengan menyampaikan keresahan rakyat, mengemukakan cadangan secara konstruktif serta memastikan dasar kerajaan yang baik sampai dan difahami masyarakat.

Menurutnya, enam ikhtiar tersebut membawa mesej yang jelas sempena Hari Kebangsaan bahawa pengurusan ekonomi perlu akhirnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Apabila Kerajaan mendengar, rakyat mendapat manfaat; apabila ekonomi diurus dengan baik, hasilnya mesti kembali kepada rakyat,” katanya.

BACA JUGA Hasil rampasan rasuah berbilion ringgit akan dipulangkan kepada rakyat