Sekolah jangan lagi terbiar? Kerajaan tambah RM500 juta untuk baiki prasarana 2027
Peruntukan penyelenggaraan sekolah akan dinaikkan 50 peratus kepada RM1.5 bilion bagi 2027, dengan kerajaan memberi jaminan tambahan dana akan disalurkan kepada semua aliran pendidikan.
Peningkatan sebanyak RM500 juta itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026, sebagai antara langkah baharu kerajaan yang memberi tumpuan kepada keperluan rakyat.
Anwar berkata peruntukan berkenaan akan meliputi semua jenis sekolah termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta sekolah pendidikan khas.
“Peruntukan penyelenggaraan semua jenis sekolah bagi tahun 2027 akan ditingkatkan 50 peratus daripada RM1 bilion kepada RM1.5 bilion,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan tidak mahu mana-mana aliran sekolah tercicir daripada menerima peruntukan tambahan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan prasarana.
“Semua aliran sekolah, keutamaan tertuju sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina, sekolah jenis kebangsaan Tamil, sekolah agama, tahfiz, pondok serta pendidikan khas, semua akan dijamin untuk diberikan peruntukan tambahan,” katanya.
Bagi memastikan peruntukan itu benar-benar diterjemahkan kepada kerja pembaikan, Anwar berkata Kementerian Pendidikan akan turun ke setiap daerah untuk meneliti permohonan yang dikemukakan.
“Kementerian Pendidikan mengatur gerak kerja turun ke setiap daerah dan meneliti setiap permohonan pembaikan prasarana, mulai bulan depan hingga tahun depan,” katanya.
Langkah itu dijangka memberi tumpuan kepada keperluan pembaikan dan penyelenggaraan sekolah yang memerlukan perhatian, termasuk prasarana asas bagi memastikan persekitaran pembelajaran lebih selesa dan selamat.
Peningkatan peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada enam langkah baharu kerajaan yang diumumkan sempena Hari Kebangsaan, selain peluasan kelayakan BUDI95, program AI percuma untuk belia, pendigitalan kesihatan awam, perubahan ambang e-Invois serta tambahan pembiayaan dan geran kepada peniaga kecil.
Menurut Anwar, pendekatan kerajaan itu berteraskan prinsip bahawa pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat.
BACA JUGA RM1 bilion untuk kesihatan awam: 150 hospital, 2,000 klinik bakal diperkasa secara digital