Rashid ‘patahkan’ dakwaan Madinah isu tak dipanggil RCI TH
Bekas anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Rashid Hussain menolak dakwaan bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad tidak diberikan peluang untuk memberikan penjelasan kepada suruhanjaya berkenaan.
Rashid yang juga Pengerusi Lembaga Tabung Haji berkata, rekod RCI menunjukkan Madinah telah dikeluarkan sepina untuk hadir memberikan keterangan di hadapan suruhanjaya itu pada 3 Jun 2022.
“Untuk rekod, Tan Sri, Madinah telah dikeluarkan sepina, jadi apa yang beliau katakan itu adalah tidak benar.
“Beliau diminta hadir di hadapan kami pada 3 Jun 2022,” katanya menerusi satu rakaman video.
Menurut Rashid, Madinah ketika itu meminta supaya dibenarkan hadir bersama Timbalan Pengarah Audit Kewangan, Mona Osman.
Bagaimanapun, katanya, permintaan berkenaan tidak dibenarkan kerana prosiding RCI menetapkan setiap saksi diperiksa secara individu.
Rashid berkata, RCI bagaimanapun telah mendapatkan penjelasan daripada Mona sehari sebelumnya, iaitu pada 2 Jun 2022, bersama pegawai meja yang mengendalikan audit Tabung Haji.
“Pada 2 Jun 2022, kita sudah mendapatkan kehadiran Puan Mona Osman, Timbalan Pengarah Audit Kewangan dan juga pegawai meja bagi audit Tabung Haji untuk memberikan penjelasan kepada kita.
“Kita mempunyai laporan penuh,” katanya.
Lebih daripada itu, Rashid berkata Madinah turut diberikan peluang menjawab sebanyak 75 soalan RCI secara bertulis, dengan jawapan tersebut dikemukakan menerusi akuan berkanun.
Menurutnya, jawapan bertulis itu kemudian dimasukkan ke dalam rekod RCI sebagai kenyataan saksi.
“Kita memang memberikan beliau peluang untuk mengemukakan jawapan bertulis kepada soalan-soalan kita yang keseluruhannya berjumlah 75 soalan.
“Beliau mengemukakannya di bawah akuan berkanun dan ia berada dalam rekod kita sebagai kenyataan saksi,” katanya.
Rashid berkata, Madinah telah menyerahkan kenyataan bertulis berserta akuan berkanun berkenaan pada 1 April 2022.
“Beliau telah mengemukakan pada 1 April 2022 satu kenyataan bertulis berserta akuan berkanun,” katanya.
Rashid kemudian menyindir tarikh penyerahan dokumen tersebut dengan berharap Madinah tidak menganggap proses yang berlaku pada 1 April itu sebagai satu “jenaka April Fool”.
“Jadi pada asasnya, saya berharap hanya kerana ia dibuat pada 1 April 2022, beliau tidak menganggap perkara itu sebagai satu jenaka April Fool,” katanya.
Penjelasan Rashid itu sekali gus memberikan gambaran berbeza terhadap dakwaan bahawa Madinah tidak diberikan ruang secukupnya untuk menjelaskan kedudukannya kepada RCI Tabung Haji.
Ini kerana Rashid menegaskan bahawa RCI mempunyai rekod Madinah dikeluarkan sepina untuk hadir, selain beliau diberikan 75 soalan untuk dijawab secara bertulis menerusi akuan berkanun yang kemudiannya direkodkan sebagai kenyataan saksi.
BACA JUGA Bawa ke kabinet, bukan mikrofon media – Akmal disindir isu KKDW