90% syor RCI sudah dilaksana, TH kini tunggu ‘lampu hijau’ ubah akta

Hampir sembilan daripada 10 syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) telah dilaksanakan, manakala enam lagi masih dalam proses tindakan termasuk perkara yang memerlukan perubahan terhadap undang-undang sedia ada.

Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain, berkata pelaksanaan syor itu merupakan sebahagian daripada usaha transformasi dan pembaharuan yang dimulakan institusi berkenaan sejak laporan RCI diterima pada 2022.

Menurutnya, pembaharuan bukan sekadar tertumpu kepada tadbir urus korporat, tetapi turut melibatkan aspek integriti, pengurusan kecairan dan risiko bagi memastikan kelemahan yang pernah berlaku tidak berulang.

“Tabung Haji mesti memastikan apa yang berlaku pada masa itu tidak berulang lagi. Jadi, bukan sahaja tadbir urus korporat menjadi isu, tetapi integriti juga merupakan satu isu yang penting.

“Pada asasnya, syor RCI adalah supaya mekanisme semak dan imbang dalam institusi ini diperkukuh bagi memberikan keyakinan kepada orang awam, selain memastikan ia bebas daripada sebarang campur tangan mana-mana pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam forum Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji pada Khamis.

Abdul Rashid berkata antara pembaharuan yang dilaksanakan TH termasuk penambahbaikan tadbir urus korporat, pengurusan kecairan dan risiko, selain memperkemas latihan serta manual berkaitan tadbir urus.

Katanya, TH perlu dilihat bukan hanya sebagai institusi simpanan umat Islam, tetapi juga sebagai sebuah institusi kewangan yang bergantung kepada keyakinan dan kepercayaan pendeposit.

“Bagi saya, apabila Tabung Haji ditubuhkan, asasnya adalah sebagai sebuah institusi simpanan untuk orang Islam. Namun, Tabung Haji juga harus dianggap sebagai sebuah institusi kewangan.

“Perkara asas bagi sesebuah institusi kewangan ialah keyakinan dan kepercayaan. Kedua-duanya tidak boleh dipisahkan,” katanya.

Akta Tabung Haji perlu dikaji semula

Abdul Rashid berkata syor RCI turut menyentuh aspek kawal selia luaran TH, termasuk keperluan memastikan institusi berkenaan dipantau menerusi mekanisme yang dipercayai.

Katanya, pelaksanaan perkara itu memerlukan pindaan terhadap undang-undang sedia ada, termasuk Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

“Perkara ini mengambil masa kerana kita perlu meminda akta yang ada sekarang. Akta yang digunakan ketika ini ialah Akta Tabung Haji 1995 dan pada masanya saya fikir akta itu perlu dikaji semula.

“Kita hampir selesai dengan proses ini. Berikan saya masa kira-kira satu atau dua bulan lagi dan kita akan dapat memuktamadkan perubahan yang diperlukan bagi memastikan ciri-ciri kawal selia serta tadbir urus ini dapat dikekalkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata daripada keseluruhan 25 syor RCI, 11 berada di bawah tanggungjawab TH, lapan melibatkan pihak lain, manakala enam lagi masih dalam tindakan.

“Daripada 25 syor itu, 19 telah diambil tindakan, manakala enam lagi masih dalam proses,” katanya.

Antara syor yang sedang diberi perhatian termasuk usaha mengehadkan skop pengawasan Bank Negara Malaysia terhadap TH, memperkukuh proses tatatertib serta menambah baik dasar berkaitan pengeluaran simpanan dan kelayakan haji secara automatik.

Mustakim berkata TH turut mengambil langkah memperkukuh tadbir urus dengan memastikan tiada ahli politik aktif berada dalam pengurusan institusi itu.

Menurutnya, langkah tersebut merupakan antara usaha untuk mengembalikan serta mengekalkan keyakinan pendeposit terhadap TH.

Aset TH kini melebihi liabiliti

Dalam perkembangan sama, Mustakim berkata transformasi yang dilaksanakan turut membantu memperkukuh kedudukan kewangan TH, dengan aset institusi itu kini melebihi liabilitinya.

Katanya, aspek pelaporan turut dipertingkatkan bagi memastikan ia lebih telus dan mematuhi piawaian berhemat.

“Pelaporan kita juga kini lebih telus dan mematuhi piawaian berhemat, selain penekanan terhadap pengurusan risiko, tadbir urus dan kepimpinan profesional yang terus diperkukuhkan,” katanya.

Perkembangan itu menunjukkan sebahagian besar syor RCI telah diterjemahkan kepada tindakan, namun beberapa perkara penting masih menunggu penyelesaian, khususnya yang membabitkan pindaan undang-undang dan penglibatan pihak luar.

BACA JUGA Bawa ke kabinet, bukan mikrofon media – Akmal disindir isu KKDW