Isu RCI Tabung Haji mula menjelajah ke seluruh negara, malam tadi di Machang

Lebih 150 peserta sanggup mengikuti Wacana Ilmu berkaitan isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sehingga tengah malam di Machang, Kelantan kelmarin.

Program berkenaan menghimpunkan pemimpin tempatan, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), anak muda dan masyarakat setempat yang mahu mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.

Turut serta adalah Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar yang turut menjadi penal dalam wacana itu.

Berdasarkan perkongsian Pengarah Jkom, Hisyamudin Ghazali atau Syam Ghaz di Facebook, sesi dialog berlangsung sehingga jam 12 tengah malam dengan penyertaan aktif daripada mereka yang hadir.

Sambutan itu memperlihatkan bahawa isu pengurusan dan kedudukan Tabung Haji bukan perkara kecil bagi masyarakat, khususnya umat Islam yang menyimpan wang untuk menunaikan ibadah haji.

Kehadiran peserta daripada pelbagai latar belakang juga menunjukkan rakyat mahu mengetahui fakta sebenar di sebalik desakan penubuhan RCI Tabung Haji.

Mereka bukan sahaja hadir mendengar penerangan, malah terus mengikuti sesi dialog sehingga selesai meskipun program berlarutan hingga lewat malam.

Perkembangan itu sekali gus menepis tanggapan bahawa rakyat Kelantan tidak berminat untuk mendengar pandangan berbeza mengenai isu yang dikaitkan dengan kepentingan umat Islam.

Sebaliknya, masyarakat dilihat bersedia memberikan ruang kepada perbincangan berasaskan fakta, bukti dan penjelasan menyeluruh mengenai apa yang pernah berlaku dalam institusi tersebut.

Isu Tabung Haji tidak sepatutnya disembunyikan di sebalik sentimen politik atau agama. Jika terdapat kelemahan tadbir urus, rakyat berhak mengetahui siapa yang bertanggungjawab dan bagaimana ia boleh berlaku.

Sambutan terhadap wacana di Machang membawa mesej jelas: rakyat tidak mahu retorik semata-mata. Mereka mahu kebenaran mengenai Tabung Haji dibentangkan secara terbuka.

Semalam, penjelasan mengenai RCI Tabung Haji mula berjalan di Negeri Sembilan menjelajah setiap Kawasan di negeri itu.

BACA JUGA Bukan hanya jawatan PM, Pemuda Pas mahu semua kerusi yang dah dimenangi kekal