Kerjasama parti Hadi dengan Umno lebih untungkan Pas, Umno pula tinggal berebut baki
Sebarang kerjasama politik antara Pas yang diterajui Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Umno menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) dilihat berpotensi memberi kelebihan jauh lebih besar kepada Pas.
Tambahan pula, Pas telah menegaskan mahu mempertahankan semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sedang disandang.

Penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, pendirian tegas Pas itu membuka episod baharu terhadap kemungkinan kerjasama parti itu dengan Umno, khususnya apabila tiba masa untuk menentukan pembahagian kerusi.
Beliau menjadikan Terengganu sebagai contoh bagaimana ruang untuk Umno boleh menjadi amat terhad jika Pas tidak berganjak daripada pendiriannya.
“Jika Pas bertegas, hanya ada satu kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN berbaki untuk ditandingi oleh Umno jika kerjasama dimeterai.
“Tapi semua kerusi tersebut disandang oleh Bersatu.
“Sudah tentu Wawasan akan bermatian menuntut dan mempertahankan kerusi tersebut, kerana pada Wawasan merekalah pewaris pusaka Bersatu dalam PN,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Jika baki kerusi tersebut akhirnya perlu dibahagikan sama rata, Dr Yusri menjangkakan Umno Terengganu berpotensi hanya memperoleh sekitar tiga kerusi untuk ditandingi pada PRU16.
Beliau berpendapat senario itu memperlihatkan bagaimana Pas boleh memasuki rundingan dengan kedudukan lebih selesa kerana mempertahankan hampir keseluruhan kawasan yang telah dikuasainya.
Sebaliknya, kata Dr Yusri lagi, Umno terpaksa berebut ruang yang masih berbaki.
Menurutnya, corak sama turut berpotensi memberi kelebihan besar kepada Pas di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis, selain membuka ruang kepada parti itu untuk memperluaskan penguasaan di Pahang, Selangor dan Perak.
Dalam keadaan tersebut, Umno pula dijangka kekal bertumpu kepada kawasan pengaruhnya di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
BACA JUGA Anwar ziarah ulama besar al-Azhar, bawa pesan pelihara turath tanpa menolak teknologi