Dakwa AS mahu jatuhkan kerajaan, Hadi kini berdepan tiga laporan polis
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang kini berdepan tiga laporan polis susulan kenyataannya yang mendakwa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia pada 2014.
Laporan polis itu dibuat oleh tiga pemimpin PKR Cabang Bandar Tun Razak iaitu Naib Ketua Cabang, V Jonathan; Ketua Wanita, Mazlina Osman dan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Amarul Hisham Jalil di Balai Polis Cheras.
Jonathan berkata, tindakan itu diambil susulan kenyataan Abdul Hadi ketika berucap pada Muktamar Tahunan Pas ke-70 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan yang kemudiannya dilaporkan sebuah portal berita.
Dalam ucapan Hadi itu, Ahli Parlimen Marang selama kira-kira 32 tahun berkenaan berkata, wakil AS pernah menawarkan bantuan kepada Pas untuk menjatuhkan kerajaan BN ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.
Hadi mendakwa, tawaran tersebut dibuat ketika salah satu lawatan bekas Presiden AS Barack Obama ke Malaysia pada 2014, apabila beberapa pemimpin Pas diundang menghadiri satu majlis di Kedutaan AS.
Jelas Hadi, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang menjadi setiausaha politiknya ketika itu, turut menghadiri majlis berkenaan.
Mengulas lanjut, Jonathan berkata kepada pemberita selepas membuat laporan polis, pihaknya memandang serius dakwaan Hadi itu.
Ini memandangkan ia menyentuh kemungkinan campur tangan pihak asing dalam usaha menggulingkan atau melemahkan kerajaan serta sistem demokrasi berparlimen negara.
Tegasnya, laporan polis dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan mengikut lunas undang-undang.
Sementara itu, lapor Bernama, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berkaitan perkara tersebut kira-kira jam 5 petang semalam.
Beliau berkata, pihaknya sedang menyemak jumlah keseluruhan laporan serta balai polis yang menerima laporan berkaitan sebelum kes berkenaan dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju.
BACA JUGA KKDW-MOF bercanggah, jangan anggap PH-BN dah retak – Kamil