Perang, El Nino, minyak mahal: Sejauh mana Malaysia bersedia? 

Bekalan bahan api, makanan dan ubat-ubatan negara kekal stabil walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, gangguan laluan perdagangan serta risiko perubahan cuaca yang boleh menjejaskan rantaian bekalan global.

Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Nurhisham Hussein berkata bekalan bahan api Malaysia dijamin mencukupi sehingga akhir tahun ini meskipun paras bekalan global berada pada tahap rendah.

Nurhisham yang juga mengetuai Sekretariat Pasukan Petugas Pengurusan Krisis Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) berkata keadaan pasaran bahan api global masih stabil, namun risiko kenaikan harga kekal akibat ketegangan geopolitik.

Katanya, Malaysia yang merupakan pengeksport bersih gas asli cecair (LNG) masih bergantung kepada import minyak mentah untuk memenuhi keperluan dalam negara.

“Petronas yakin kita akan dapat mempunyai bekalan yang mencukupi sehingga akhir tahun dan mereka akan dapat bekalan,” katanya pada taklimat media mengenai krisis bekalan global baru-baru ini.

Menurutnya, harga minyak dunia berkemungkinan kekal tinggi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang berikutan negara-negara mula membina semula rizab minyak secara perlahan.

Dalam masa sama, peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di China dilihat membantu menyederhanakan permintaan minyak dunia, sekali gus mengurangkan sedikit tekanan terhadap pasaran tenaga global.

Bagi bekalan makanan pula, Nurhisham berkata Malaysia masih mempunyai bekalan mencukupi dengan kebanyakan kategori yang dipantau mencatatkan bekalan sekitar 10 peratus melebihi permintaan.

Namun, fenomena El Nino yang dijangka berlarutan sehingga Februari 2027 boleh memberi kesan kepada pengeluaran makanan dunia, termasuk beras, gandum dan jagung.

Berdasarkan unjuran FAO, bekalan beras global dijangka menurun 1.6 peratus tahun depan, manakala pengeluaran gandum dan jagung masing-masing dijangka susut 3.8 dan 2.7 peratus.

Nurhisham berkata bekalan alat perubatan dan ubat-ubatan turut berada dalam keadaan stabil, dengan kurang daripada setengah dozen kategori ubat dikenal pasti sebagai kritikal dan kebanyakannya masih mempunyai alternatif.

Mengenai inflasi, beliau berkata kadar keseluruhan kekal sekitar dua peratus setahun walaupun beberapa kategori mengalami peningkatan harga susulan kenaikan kos tenaga terutama diesel.

Dalam usaha mengurangkan tekanan kos, kerajaan turut menaikkan had kelayakan bulanan BUDI MADANI RON95 daripada 200 kepada 300 liter mulai 1 September, dengan harga subsidi RON95 kekal RM1.99 seliter.

BACA JUGA Mesyuarat Kabinet lancar, kami tak sembang isu politik