Jangan sekadar jadi penyampai – Wan Azizah mahu komuniti MADANI dengar suara rakyat
Komuniti MADANI perlu bergerak lebih jauh daripada sekadar menyampaikan maklumat kerajaan dengan menjadi penghubung dua hala yang benar-benar mendengar masalah rakyat di peringkat akar umbi.
Isteri Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata komuniti berkenaan perlu lebih proaktif mengenal pasti masalah masyarakat sebelum menyalurkannya kepada agensi atau pihak berkuasa yang berkaitan.
Menurutnya, peranan Komuniti MADANI sebagai “mata dan telinga kerajaan” bukan sekadar memastikan dasar dan inisiatif kerajaan sampai kepada rakyat, tetapi turut membawa suara rakyat kembali kepada kerajaan untuk tindakan susulan.
“Jangan sekadar menjadi penyampai maklumat tetapi jadilah pendengar yang peka terhadap masalah warga emas, keluarga dalam kesusahan serta keperluan anak muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak 2026/2027 di Kuala Lumpur, Ahad.
Wan Azizah berkata, walaupun Komuniti MADANI mungkin tidak mempunyai kuasa untuk menyelesaikan semua masalah yang dibangkitkan, mereka boleh memastikan isu berkenaan sampai kepada pihak yang mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mengambil tindakan.
Katanya, pendekatan itu termasuk membantu masyarakat mendapatkan saluran yang betul bagi urusan kebajikan serta menghubungkan mereka dengan agensi kerajaan berkaitan.
“Jadi ini yang dikatakan mata dan telinga kerajaan, mereka perlu mahir dan pada masa sama bantu lihat apa masalah yang berlaku dan ambil tindakan susulan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mengingatkan ahli Komuniti MADANI supaya memainkan peranan dalam mengekang penyebaran maklumat palsu yang semakin pantas bergerak melalui media sosial.
Menurutnya, maklumat yang tepat perlu disampaikan kepada masyarakat bagi mengelakkan fitnah dan maklumat tidak benar menjejaskan keharmonian.
Beliau turut menyeru komuniti supaya mengamalkan prinsip “semak sebelum sebar”, selain mengekalkan sikap saling menghormati walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan masyarakat.
Wan Azizah berkata kekuatan sebenar sesebuah komuniti pula tidak hanya bergantung kepada struktur organisasi, tetapi turut berpaksikan hubungan baik antara jiran serta kesediaan masyarakat daripada pelbagai kaum dan latar belakang untuk saling membantu.
Pada majlis itu, beliau menyampaikan Anugerah Duta Komuniti MADANI kepada Azizi Anas dan S. Yugan, selain menyerahkan watikah pelantikan kepada wakil daripada enam subzon Parlimen Bandar Tun Razak.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin; Pengarah Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Nor Maizatul Akmal Pujat; serta Pengerusi Komuniti MADANI Parlimen Bandar Tun Razak, Jonathan Bella.
Komuniti MADANI merupakan penjenamaan semula daripada 1,878 Komuniti Keluarga Malaysia susulan pelancaran gagasan Malaysia MADANI pada Januari 2023. Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, sebanyak 72 Komuniti MADANI telah diwujudkan.
BACA JUGA Syurga milik Allah bukan Pas, Adun AMANAH bidas kenyataan Takiyuddin