Selepas ‘dua kali Jumaat’, Ab Rauf ‘tunggu buah gugur’ pula
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh terus memberi bayangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Ketua Menteri Melaka secara berseloroh menyebut bahawa 19 September ini sebagai tempoh “buah baru masak”, seolah-olah memberi bayangan pengumuman mengenai pembubaran DUN mungkin dibuat tidak lama selepas tarikh tersebut.
“Kita tunggu buah gugurlah,” katanya selepas menutup program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat peringkat DUN Ayer Limau di Jeti Eco-Cruise Sungai Linggi, Masjid Tanah, hari ini.
19 September merupakan hari terakhir Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di DUN Tanjung Bidara.
Tarikh itu sekali gus melengkapkan siri program turun padang Ab Rauf bersama kepemimpinan negeri bagi bertemu rakyat dan menyelami permasalahan mereka di seluruh negeri.
Semalam, Ab Rauf yang juga ADUN Tanjung Bidara berteka-teki mengenai pembubaran DUN Melaka dengan memberi gambaran bahawa hari penting bagi negeri itu bakal berlangsung dalam tempoh ‘dua kali Jumaat’ lagi.
Pada masa ini, BN menguasai majoriti sebanyak 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka manakala Pakatan Harapan (PH) menguasai lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) mempunyai dua kerusi.
BACA JUGA Umno dah ‘kunci’ 21 kerusi, Pas pula kena telan syarat BN atau lawan di Melaka