Dzulkefly dukacita helikopter doktor udara terhempas, mohon doa permudahkan urusan
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menzahirkan rasa dukacita susulan insiden helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak, petang ini.
Beliau pada masa sama meminta orang ramai mendoakan agar segala urusan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dipermudahkan, ketika status juruterbang dan empat petugas kesihatan yang berada dalam penerbangan itu masih belum dapat dipastikan.
Menurut Dzulkefly, helikopter berkenaan berlepas dari Miri dan membawa seorang pegawai perubatan, seorang penolong pegawai perubatan serta dua jururawat yang sedang menjalankan tugas rasmi.
“Saya amat berdukacita apabila menerima laporan awal berhubung insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS) KKM yang dilaporkan terhempas pada petang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pasukan SAR bersama pasukan perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berada di lokasi kejadian dan operasi pencarian serta menyelamat sedang giat dijalankan.
Dzulkefly berkata KKM sedang memantau keadaan dengan rapi serta bekerjasama dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat dan agensi penerbangan berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini.
Dalam pada itu, kementerian sedang berusaha menghubungi waris dan ahli keluarga individu yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya.
Beliau turut meminta media dan orang awam supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan kerana operasi SAR masih berlangsung dan status kesemua krew serta penumpang belum dipastikan.
“Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan,” katanya.
BACA JUGA Nahas helikopter: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia