Rakyat Barat berani turun ke jalan, Mat Sabu tempelak pemimpin Arab masih tunggu apa
Ketika masyarakat di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) semakin berani turun ke jalan menyatakan solidariti terhadap Palestin, sebahagian pemimpin dunia Arab pula dilihat masih terlalu berhati-hati untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap Israel.
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, keadaan itu seharusnya menimbulkan persoalan besar apabila rakyat yang berada ribuan kilometer dari Gaza sanggup bersuara lantang, sedangkan sebahagian negara Islam yang lebih dekat masih meneruskan hubungan diplomatik, perdagangan dan kerjasama dengan Israel.
“Kalau masyarakat yang berada ribuan kilometer daripada Gaza boleh turun ke jalan mempertahankan Palestin, mengapa sebahagian pemimpin dunia Arab yang berada begitu hampir masih terlalu berhati-hati untuk bertindak?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohamad, penderitaan rakyat Palestin kini bukan lagi sekadar isu yang boleh diselesaikan melalui kecaman, resolusi atau demonstrasi semata-mata apabila pembunuhan, kemusnahan dan pengusiran terus berlaku di Gaza serta Tebing Barat.
Beliau berkata, dunia Islam perlu berani menilai semula sejauh mana solidariti terhadap Palestin benar-benar diterjemahkan kepada tindakan politik, diplomatik dan ekonomi yang mampu memberikan tekanan nyata.
“Apakah nilai persaudaraan umat jika penderitaan Palestin hanya menjadi bahan ucapan dalam persidangan, tetapi tidak diterjemahkan kepada tindakan?” soalnya.
Kekuatan diplomatik
Mohamad turut menegaskan bahawa AMANAH tidak menyeru negara Islam mengheret rantau Asia Barat ke dalam peperangan yang lebih besar, sebaliknya mahu kekuatan diplomatik, ekonomi dan politik digunakan secara lebih berani untuk menghentikan konflik.
Katanya, perdagangan dan kepentingan geopolitik tidak sepatutnya mengatasi nilai kemanusiaan ketika rakyat Palestin terus kehilangan rumah, tanah dan ahli keluarga akibat konflik berpanjangan.
“Jangan normalisasikan kezaliman. Jangan jadikan perdagangan lebih utama daripada darah manusia. Jangan biarkan Palestin bersendirian,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Mohamad turut menyentuh tekanan yang dihadapi Iran, sambil menegaskan bahawa soal mempertahankan kedaulatan sesebuah negara daripada serangan dan tekanan kuasa besar perlu dilihat berasingan daripada perbezaan politik dalaman.
Beliau berkata, Iran tidak sepatutnya dibiarkan bersendirian berdepan tekanan Amerika Syarikat dan Israel, khususnya apabila kestabilan rantau itu bergantung kepada keberanian negara-negara serantau untuk menghalang Asia Barat daripada terus menjadi gelanggang persaingan kuasa besar.
Perubahan sikap
Pada masa sama, Mohamad berkata perubahan sikap masyarakat antarabangsa terhadap isu Palestin memberi sedikit harapan apabila semakin ramai anak muda, ahli akademik, masyarakat sivil serta kelompok pelbagai agama dan bangsa di Barat tampil menyatakan solidariti.
Menurutnya, perkembangan itu membuktikan bahawa perjuangan Palestin kini semakin dilihat sebagai persoalan keadilan dan kemanusiaan sejagat, bukan lagi semata-mata isu dunia Islam.
“AMANAH akan terus berdiri bersama rakyat Palestin. Kita mempertahankan hak mereka untuk hidup, hak mereka terhadap tanah air mereka dan hak mereka untuk menentukan masa depan mereka sendiri,” katanya.
Beliau menegaskan, selagi rakyat Palestin belum memperoleh kemerdekaan dan keadilan, suara menentang penindasan tidak boleh dihentikan, sementara dunia Islam pula perlu menunjukkan pendirian yang lebih berani, bersatu dan bermaruah.
BACA JUGA Nahas helikopter: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia