RON95 tanpa subsidi naik 25 sen hari ini, pengguna BUDI95 kekal bayar RM1.99 seliter

Harga runcit RON95 tanpa subsidi meningkat 25 sen kepada RM4.02 seliter bagi tempoh mulai hari ini hingga 16 September 2026, namun pengguna yang layak di bawah BUDI Madani RON95 (BUDI95) terus menikmati harga bersubsidi RM1.99 seliter.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan harga RON97 turut meningkat sebanyak 25 sen daripada RM4.25 kepada RM4.50 seliter, manakala diesel tanpa subsidi naik daripada RM4.67 kepada RM4.92 seliter.

Dalam tempoh sama, kerajaan mengekalkan harga RON95 bersubsidi menerusi BUDI95 pada RM1.99 seliter, sementara diesel di bawah program BUDI Madani Diesel (BUDI Diesel) kekal RM2.10 seliter.

Harga bahan api di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula kekal RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) terus pada RM2.15 seliter.

Menurut MOF, kerajaan kini menanggung subsidi sebanyak RM2.03 bagi setiap liter RON95 yang dinikmati pengguna layak BUDI95, bersamaan kira-kira 50 peratus daripada harga pasaran RON95 tanpa subsidi semasa.

Bagi diesel pula, subsidi yang ditanggung kerajaan menerusi BUDI Diesel mencecah RM2.82 seliter atau kira-kira 57 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi.

MOF menjelaskan kenaikan harga bahan api tanpa subsidi berpunca daripada peningkatan ketara harga minyak mentah dunia sepanjang tempoh pengiraan Mekanisme Harga Automatik (APM), susulan konflik Amerika Syarikat-Iran yang kembali meruncing serta risiko gangguan bekalan melalui Selat Hormuz.

Gangguan kapasiti

Keadaan pasaran petroleum bertapis dunia juga kekal ketat berikutan gangguan kapasiti penapisan di Asia Barat dan serangan berterusan terhadap loji penapisan Rusia, sekali gus mengecilkan bekalan petrol, diesel serta produk petroleum lain ke pasaran antarabangsa.

“Selepas 193 hari konflik di Asia Barat, aliran petroleum melalui Selat Hormuz dan kapasiti penapisan global masih belum kembali normal.

“Sekiranya keadaan ini berpanjangan, inventori yang semakin menyusut serta bekalan produk petroleum bertapis yang semakin ketat boleh meningkatkan premium risiko terhadap harga petrol dan diesel dunia,” menurut kementerian itu.

Dalam masa sama, MOF menegaskan kerajaan akan terus melindungi rakyat dan perniagaan daripada kesan ketidaktentuan harga tenaga global, termasuk meneruskan subsidi bersasar BUDI Madani kepada golongan yang layak.

Kerajaan juga ujarnya, akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.

BACA JUGA Sembang PN-BN ‘penyelamat kesatuan ummah’, netizen bidas anggap hanya kesatuan kuasa