Reman tak disambung, Azeez dijangka bebas petang ini tapi kes penipuan hibah TH masih disiasat
Bekas Pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dijangka dibebaskan petang ini, selepas tempoh remannya tidak disambung.
Peguam yang mewakili bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkenaan, Datuk Amer Hamzah Arshad berkata, permohonan polis untuk melanjutkan tempoh reman selama tiga hari lagi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan telah ditolak.
Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Baling tersebut dijangka dibebaskan sebelum 5 petang ini, sebaik sahaja tempoh reman terdahulu tamat.
“Pihak kami telah membantah keras permohonan lanjutan reman tersebut, atas alasan anak guam kami sentiasa bersedia dan memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis pada bila-bila masa, sekiranya diperlukan.
“Siasatan masih boleh diteruskan tanpa perlu menahan reman anak guam kami. Sekiranya pihak berkuasa memerlukan keterangan lanjut, beliau sedia hadir ke Bukit Aman pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di ibu negara hari ini.
Sebelum ini, Abdul Azeez dan dua bekas pegawai TH telah direman dua hari bagi membantu siasatan kes penipuan berkaitan pemberian hibah TH.
Mengulas mengenai pakaian lokap dan gari yang dipakainya ketika dihadapkan bagi pertuduhan berkaitan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, Amer Hamzah berkata Abdul Azeez ketika itu berada di bawah tahanan dan jagaan polis bagi prosiding reman berkenaan.
“Anak guam kami hanya mengikut arahan dan SOP yang ditetapkan oleh pihak polis.
“Oleh itu, tidak timbul isu wujudnya sebarang pilihan pakaian, kerana beliau ketika itu sedang menjalani tahanan reman oleh PDRM,” katanya.
Amer Hamzah berkata, Abdul Azeez telah hadir memberi keterangan lebih 10 kali sebelum ini dan akan terus memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan.
BACA JUGA BN dapat saja jadi kerajaan Negeri Sembilan, ustaz pro-PH antara 12 yang ditarik tauliah