Jangan ada undang-undang dua darjat! – 47 CSO desak Najib kekal di penjara
Cadangan membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghabiskan baki hukuman sebagai tahanan rumah dibantah sekumpulan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan gerakan mahasiswa yang bimbang langkah itu akan memberi gambaran wujudnya layanan berbeza dalam sistem keadilan negara.
Dalam kenyataan bersama hari ini, 47 organisasi masyarakat sivil dan lima individu menegaskan Najib perlu menghabiskan baki hukuman di dalam penjara dan bukannya menjalani hukuman sebagai tahanan rumah.
Mereka berkata pendirian itu dibuat susulan laporan bahawa Lembaga Pengampunan dijadual bersidang pada Jumaat ini, 11 September, dengan antara perkara yang dikatakan akan dibincangkan ialah permohonan untuk membolehkan Najib menghabiskan baki hukumannya sebagai tahanan rumah.
Menurut kumpulan berkenaan, Najib sebelum ini telah mendapat pengurangan hukuman daripada 12 tahun kepada enam tahun penjara serta pengurangan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta melalui keputusan Lembaga Pengampunan pada Februari 2024.
Mereka mendakwa Najib dijangka dibebaskan pada Ogos 2028 sekiranya denda RM50 juta dapat dibayar, justeru mempersoalkan mengapa permohonan baharu berkaitan bentuk pelaksanaan hukuman perlu diberikan keutamaan sedangkan masih ramai individu yang dipenjarakan menunggu peluang mendapatkan pengampunan.
“Najib Razak perlu menghabiskan baki hukuman beliau di dalam penjara, dan bukan sebagai tahanan rumah,” kata mereka dalam kenyataan tersebut.
Kumpulan itu turut membangkitkan bahawa Najib masih berdepan beberapa prosiding berkaitan skandal 1MDB, termasuk kes penyalahgunaan kedudukan dan pengubahan wang haram yang menurut mereka melibatkan RM2.3 bilion, selain kes SRC International kedua dan kes IPIC yang dikatakan masih boleh didakwa semula.
Mereka mempersoalkan implikasi sekiranya Najib diberikan pengampunan atau pengurangan hukuman untuk menjalani baki hukuman sebagai tahanan rumah, tetapi pada masa sama masih terdapat kes lain yang sedang berjalan atau berpotensi dibawa semula ke mahkamah.
“Pengampunan beliau akan menyekat proses pendakwaan dan tidak praktikal memandangkan masih ada kes-kes beliau yang sedang berjalan,” dakwa kumpulan berkenaan.
Menurut mereka, sabitan dalam kes SRC International menunjukkan seriusnya isu salah guna kuasa dan pecah amanah yang didakwa memberi kesan kepada wang rakyat, manakala tuntutan supaya skandal 1MDB disiasat dan mereka yang bersalah dihukum telah menjadi antara isu yang mencetuskan desakan awam sejak 2018.
Mereka turut merujuk petisyen yang dilancarkan Bersih pada Ogos 2022 yang menurut kenyataan itu mendapat sokongan 157,000 rakyat Malaysia bagi mendesak Yang di-Pertuan Agong ketika itu tidak mengampunkan Najib, selain mendakwa negara masih menanggung hutang berjumlah RM20.1 bilion berkaitan isu berkenaan.
Dalam pada itu, kumpulan tersebut turut membangkitkan persoalan mengenai dua lagi bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob, yang menurut mereka sedang berdepan pertuduhan berkaitan dana awam, dengan mempersoalkan sama ada mereka juga akan mendapat layanan pengampunan atau pengurangan hukuman sekiranya kelak disabitkan bersalah.
“Negara tidak boleh memberi isyarat bahawa pemimpin politik seperti mantan Perdana Menteri – yang mempunyai kuasa yang luas – apabila melakukan kesalahan dan disabitkan bersalah boleh mengambil jalan pintas untuk bebas dari hukuman, seolah-olah ada undang-undang dua darjat untuk elit politik dan rakyat biasa,” kata mereka.
Kumpulan itu memberi amaran bahawa pemberian pengampunan atau tahanan rumah kepada Najib akan memberi kesan terhadap persepsi masyarakat terhadap kedaulatan undang-undang, selain mendakwa generasi muda akhirnya terpaksa menanggung kesan dan beban akibat rasuah, salah guna kuasa serta pecah amanah yang berlaku dalam pengurusan dana awam.