Baru tiba New Delhi, Anwar terus jumpa Putin jam 11 malam; penerbangan terus, bebas visa jadi agenda

Sebaik tiba di New Delhi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengadakan pertemuan dua hala bersama Presiden Persekutuan Rusia, Vladimir Putin sekitar jam 11 malam bagi membincangkan beberapa agenda strategik antara Malaysia dan Rusia.

Menurut Anwar, pertemuan itu berlangsung dalam suasana persahabatan dan memberi ruang kepada kedua-dua pemimpin menilai kemajuan hubungan dua hala selain menetapkan langkah konkrit untuk memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.

Antara perkara utama dibangkitkan ialah usaha mempercepat pelaksanaan penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia serta kemudahan perjalanan tanpa visa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kedua-dua langkah itu penting bagi merancakkan lagi sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan Rusia.

“Saya turut menyatakan penghargaan atas dukungan Rusia terhadap kerjasama tenaga bersama Malaysia.

“Kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan kepakaran yang boleh digembleng untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik ini demi kepentingan bersama.

“Bicara kami turut menyentuh soal peningkatan kemasukan minyak sawit Malaysia ke pasaran Rusia, di samping meneroka usaha untuk menggandakan nilai perdagangan Malaysia-Rusia,” kata beliau menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Namun, dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan bahawa setiap persetujuan yang dicapai tidak seharusnya kekal di peringkat perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu segera diterjemahkan kepada pelaksanaan.

Justeru, beliau mencadangkan penubuhan satu mekanisme khas antara Malaysia dan Rusia bagi menyelaras serta mempercepat pelaksanaan semua kesepakatan yang telah dicapai, dan cadangan itu dipersetujui Putin.

Pada penghujung pertemuan, Anwar turut menyampaikan semula undangan Yang di-Pertuan Agong kepada Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia.

Anwar berkata, lawatan itu kelak dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Rusia yang semakin erat, matang dan saling menguntungkan.

BACA JUGA Jangan heret rakyat demi imej Umno, gesaan PRU16 awal dipersoal ketika kes rasuah sedang dibongkar