Selepas cabar keluarkan dari kerajaan, Zahid kata Umno kekal bersama hingga akhir penggal
Selepas mencabar pihak yang mahu Umno keluar dari Kerajaan Perpaduan supaya bertindak segera, Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan parti itu tetap akan bersama kerajaan sehingga akhir penggal.
Zahid berkata, Umno menghormati perbezaan pandangan dalam Kerajaan Perpaduan dan akan terus menjalankan tanggungjawab secara profesional meskipun terdapat suara serta pendirian berbeza antara parti komponennya.
“Perbezaan pendapat dalam Kerajaan Perpaduan perlu dihormati.
“Begitu juga kami menghormati perbezaan pendapat yang dilontarkan oleh mereka,” katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Penegasan itu hadir ketika hubungan Umno dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menjadi antara isu hangat sepanjang PAU, termasuk susulan desakan dan kritikan daripada beberapa pemimpin parti berhubung kedudukan Umno dalam kerajaan.
Namun, di sebalik nada lantang yang kedengaran sepanjang PAU itu, Zahid kembali mengingatkan bahawa keputusan rasmi Umno adalah untuk terus berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Katanya, resolusi PAU sebelum ini mengenai pendirian tersebut perlu dihormati, sekali gus memperjelaskan bahawa Umno tidak bercadang meninggalkan kerajaan dalam masa terdekat.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu turut memberi jaminan bahawa menteri-menteri Umno akan terus bertindak secara profesional dalam menjalankan tanggungjawab masing-masing walaupun berlaku perbezaan pandangan dengan parti lain.
Dalam masa sama, Zahid menjelaskan kenyataan yang dibuat jurucakap sayap dan wakil negeri sepanjang PAU tidak boleh secara automatik dianggap sebagai pendirian rasmi parti.
Menurutnya, pandangan sedemikian perlu dilihat sebagai pendapat masing-masing, manakala pendirian rasmi Umno hanya boleh dibuat menerusi kenyataan Setiausaha Agung atau beliau sendiri selaku presiden.
“Kita boleh hormat perbezaan pandangan ketika kongres dan konvensyen. Mereka juga pasti boleh hormat beza pandangan yang dikemukakan oleh jurucakap sayap-sayap dari negeri-negeri,” katanya.
BACA JUGA Kalau tak selesa, kenapa tunggu kena halau? Zahid cabar PH singkir Umno dari Kerajaan Perpaduan