Zahid cabar Anwar, tapi Umno sendiri belum tentu bersama 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi disaran tidak terlalu ghairah mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya membubarkan Parlimen kerana tindakan itu dikhuatiri tidak mendapat sokongan menyeluruh dalam parti berkenaan.

Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad, berkata pentadbiran Kerajaan Madani ketika ini berlangsung dengan baik, justeru tidak wajar Zahid mendesak pihak lain membubarkan Parlimen semata-mata untuk membuktikan kekuatan politiknya.

Katanya, kedudukan BN yang hanya memiliki 30 kerusi Parlimen berbanding 79 kerusi yang dimiliki Pakatan Harapan (PH) juga perlu diambil kira sebelum sebarang cabaran dibuat.

“Kalau sudah begitu yakin, tarik sahaja sokongan Ahli Parlimen BN. Jangan terdesak sehingga meminta orang lain membubarkan Parlimen untuk membuktikan sesuatu yang tidak pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Saifuddin, perkembangan politik dalam Umno sendiri turut menimbulkan persoalan apabila terdapat pemimpin parti itu yang dilihat terus bekerjasama dengan kerajaan pimpinan Anwar.

Beliau memberi contoh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani, yang menurutnya tetap bersama Anwar dalam lawatan kerja ke India ketika Zahid lantang bersuara di PWTC.

“Lebih menarik lagi ketika Zahid riuh bergegak gempita di PWTC, Johari Ghani teguh bersama PMX dalam lawatan kerja ke India. Ini satu isyarat halus dan jelas cara beliau menunjukkan bagaimana hendak bekerja dengan jujur,” katanya.

Saifuddin turut mengaitkan pendirian Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail, yang menurutnya masih melihat kerjasama PH-BN sebagai pilihan utama di Pahang, termasuk dalam konteks kestabilan politik negeri berkenaan.

“Manakala Wan Rosdy pula masih melihat kerjasama PH-BN sebagai pilihan utama di Pahang, negeri kelahiran Najib Razak. Sikap pemimpin yang tahu siapa kawan dan lawan seperti inilah yang membawa nilai kestabilan dalam politik negara,” katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata cabaran Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, kepada PAS-PN supaya membubarkan DUN Terengganu turut memberikan gambaran bahawa pendirian dalam Umno terhadap hubungan politik semasa tidak semestinya selari dengan pendekatan Zahid.

Beliau berkata keadaan itu menunjukkan persoalan lebih besar kini ialah sejauh mana pimpinan dan akar umbi Umno benar-benar bersetuju dengan pendekatan Zahid yang dilihatnya menyerang Kerajaan Madani secara keterlaluan.

“Di dalam Umno sendiri pun belum jelas siapa ikut siapa dan pimpinan mana yang betul-betul yakin atas tindakan Zahid Hamidi menyerang Kerajaan Madani secara keterlaluan itu adalah satu perkara yang betul,” katanya.

Menurut Saifuddin, resolusi Umno untuk kekal dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan juga wajar dilihat sebagai petunjuk penting mengenai pendirian parti tersebut terhadap kerajaan sedia ada.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan Zahid supaya terlebih dahulu memastikan sokongan politik dalam partinya sendiri kukuh sebelum mencabar Anwar, sambil memberi amaran kemungkinan penolakan daripada rakan-rakan politik dalam Umno sendiri.

“Zahid Hamidi seeloknya, sebelum mempertikai dan mencabar Guru, pastikan dahulu diri sendiri memiliki ramuan politik yang mencukupi kerana risau nanti ‘rakan-rakan’ sekelas pula yang mencari jalan untuk menyingkirkan anda lebih awal,” katanya.

BACA JUGA ‘Guru jumpa Putin, murid jumpa pemimpin Rusila’, gaya diplomasi PMX cetus usikan netizen