ANALISIS | Kalau seorang Raja boleh dijatuhkan begitu sahaja, apa pula nasib yang lain?
LIYANA MARZUKI
Secara protokol, semua Raja dan Sultan Negeri memakai gelaran Duli Yang Maha Mulia. Cuma bagi membezakan kedudukan Yang di-Pertuan Agong kita, gelaran khas “Seri Paduka Baginda” digunakan. Hanya Baginda seorang sahaja yang boleh menggunakan gelaran ini dalam negara. Sultan lain tidak dibenarkan menggunakannya hinggalah sampai giliran.
Sistem beraja di Malaysia ini unik. Kita antara negara yang mempunyai paling ramai Raja dalam sebuah negara, iaitu sembilan orang kesemuanya. Mereka bergilir menjadi Yang di-Pertuan Agong setiap lima tahun.
Sultan Johor kini menjadi Agong kita dan sudah lebih 2.5 tahun memerintah. Baginda besar kemungkinan akan diganti oleh Sultan Perak dalam tempoh tidak sampai dua tahun setengah lagi. Tempoh Baginda tamat pada 30 Januari 2029. Tak lama dah.
Lama atau tidak, cabaran Baginda dalam memayungi negara amat terserlah, terutama apabila dunia politik sedikit haru-biru. Kita nampak peranan Baginda di situ.
Baginda mengambil peranan aktif. Dalam menangani gejala rasuah, menjadi rahsia terbuka bahawa Baginda ada peranan membersihkan MINDEF, sehingga pemimpin tinggi tentera dipecat dan ditahan. Sukar perkara itu terjadi kalau Baginda sendiri tidak campur tangan.
Saya percaya, salah satu sebab indeks persepsi rasuah kita bertambah baik tahun lepas adalah kerana Ketua ATM pun kita berkas. Jarang berlaku di mana-mana negara. Ia akan tercatat dalam sejarah, bukan sahaja bekas Perdana Menteri kita masuk penjara, malah Panglima Tentera pun kita dakwa.
Minggu ini, Baginda dipuji lagi. Laungan “Daulat Tuanku” berkumandang di media sosial sebaik sahaja permohonan pengampunan DS Najib Razak ditangguhkan.
Ia menunjukkan DYMM Seri Paduka Baginda memahami sentimen rakyat biasa yang tidak berparti dan tidak fanatik kepada pemimpin. Kes kleptokrasi terteruk dalam dunia, kalau hendak diampun, perlu berhati-hati. Impaknya kepada maruah negara besar nanti.
Minggu ini juga, The Straits Times mendedahkan bahawa Baginda sudah mengambil berat apa yang terjadi di Negeri Sembilan. Ini yang ramai rakyat harapkan.
Tidak berpelembagaan
Bila ada yang mahu menurunkan takhta Raja secara tidak berperlembagaan, tanpa alasan yang kukuh dan langsung tiada perbicaraan, kita harapkan seluruh Raja-Raja Melayu campur tangan.
Kena juga kita tegaskan, alasan penurunan takhta Raja atau deposition lebih kurang sama di setiap negeri. Kena ada alasan yang kukuh.
Sama ada sakit, kurang waras, melakukan jenayah atau melanggar Perlembagaan, semuanya perlu dinyatakan. Dan Baginda perlu diberi peluang untuk membela diri. Kalau hendak buang pekerja pun kita buat siasatan penuh (full inquiry). Inikan pula Raja Melayu sendiri.
Hatta selepas keputusan penurunan takhta dibuat, ia tidak terhenti di situ. Raja sendiri perlu mengumumkan pelepasan takhta Baginda mengikut aturan yang ditetapkan. Maknanya, ada satu lagi lapisan yang perlu disempurnakan sebelum sebuah pemerintahan Raja itu ditamatkan.
Dalam Perlembagaan kebanyakan negeri, inilah intipatinya. Hendak buang Raja kena ikut alasan dan prosedur tertentu. Janganlah buat secara koboi, takut seluruh negara haru-biru.
Yang kita khuatir, kalau sudah dibuat dahulu di Negeri Sembilan, nanti senang-senang pula institusi Diraja yang lain dijatuhkan.
Alasan tidak diumumkan, siasatan penuh (full inquiry) seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan juga tidak dibuat, orang politik pula masuk campur. Janganlah dibenarkan begitu.
Kita harapkan juga pasukan Baginda YDPA jangan termakan dengan propaganda dan cybertrooper di Facebook. Mereka cuba menormalisasikan derhaka kepada Raja.
Mereka langgar sahaja aturan yang ada. Turun dan tabal Raja dibuat di resort semata-mata. Apa fungsi pegawai tertinggi Kerajaan dan pegawai protokol Istana? Nescaya, caca-marba ini kalau tidak ditolak, akan terjadi lagi pada hari muka.
Saya percaya Seri Paduka Baginda akan menjadi penyelamat (will be the saviour). Membantu saudara Diraja Baginda sendiri (his own Royal Brethren) daripada diderhaka begitu.
Kerana akhirnya, kalau mereka boleh buat pada Raja yang satu, pada masa depan mereka boleh buat kembali. Kalau ini terjadi, daulat dan hormat kepada Institusi Raja akan jatuh merudum.
Ironinya, pelopor gerakan ini bukanlah orang bukan Melayu. Orang kita juga.
Dan dalam sejarah dunia menunjukkan, yang meruntuhkan Institusi Raja bukan orang luar. Orang yang berada dekat sekeliling Raja. Sang Bangsawan dan Pembesar Negara.
Makanya, kita meletakkan kepercayaan kepada Agong kita (we put our trust in our Agong).
Rakyat percaya Seri Paduka Baginda bijaksana.
BACA JUGA Lima mangsa nahas helikopter FDS akhirnya dibawa pulang, ini lokasi persemadian mereka