Pertahan nama, tapi robohkan perpaduan? – Mahfuz tegur Umno

Umno tidak seharusnya terlalu sibuk mempertahankan nama “Kerajaan Perpaduan” jika pada masa sama parti itu didakwa turut menyerang kerajaan yang mereka sendiri menjadi sebahagian daripadanya, kata Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar.

Menurutnya, persoalan mengenai sama ada pentadbiran negara harus disebut sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia atau Kerajaan MADANI bukan isu utama yang sedang dihadapi rakyat, sebaliknya prestasi kerajaan dalam menangani masalah kehidupan seharian.

Kenyataan itu menyusul pendirian Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki bahawa pentadbiran negara perlu terus dirujuk sebagai Kerajaan Perpaduan Malaysia dan bukannya Kerajaan MADANI.

Mahfuz mempersoalkan mengapa Umno baru kini dilihat begitu mengambil berat mengenai penggunaan istilah tersebut sedangkan sepanjang hampir empat tahun pentadbiran kerajaan, kedua-dua istilah berkenaan digunakan dalam ucapan, kenyataan rasmi dan program kerajaan.

“Selama hampir empat tahun ini, Umno pi mana? Tidur ka?” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu kerajaan tetap berjalan seperti biasa, Kabinet bermesyuarat dan menteri daripada parti-parti yang membentuk kerajaan terus melaksanakan tugas masing-masing tanpa nama rasmi yang digunakan menjadi persoalan besar kepada rakyat.

Sebaliknya, menurut Mahfuz, rakyat lebih mengambil berat mengenai harga barang, keadaan ekonomi, peluang pekerjaan, subsidi, pendidikan, kesihatan, jalan raya dan kebajikan, justeru kerajaan perlu dinilai berdasarkan hasil yang mampu diberikan kepada mereka.

“Jadi janganlah kita menjadikan jenama kerajaan sebagai isu negara, sedangkan rakyat sedang menunggu hasil dan penyelesaian masalah kehidupan mereka.”

Mahfuz berkata perkara yang lebih penting ialah memastikan usaha kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan terus mendapat sokongan semua parti yang berada dalam kerajaan.

Dalam masa sama, beliau mempersoalkan sikap pemimpin Umno yang menurutnya mahu mempertahankan label Kerajaan Perpaduan tetapi pada masa tertentu tampil mengkritik atau menyindir kerajaan yang mereka sendiri sertai. Katanya, jika benar Umno mahu mempertahankan konsep berkenaan, semangat kerjasama dan tanggungjawab bersama perlu turut dipelihara.

“Jangan sibuk mengeja perkataan perpaduan kalau dalam masa yang sama kita sendiri sedang mengoyakkan kain perpaduan.”

Menurut Mahfuz, sebarang ketidaksetujuan terhadap dasar kerajaan sepatutnya dibincangkan dalam Kabinet, manakala cadangan yang lebih baik boleh dikemukakan melalui saluran sama sebelum sesuatu keputusan dipersetujui dan dipikul bersama.

Beliau turut mengingatkan bahawa tidak wajar mana-mana pihak berkongsi kredit apabila sesuatu keputusan kerajaan berjaya, tetapi meletakkan kesalahan kepada Perdana Menteri seorang apabila berdepan keputusan sukar atau tidak popular. “Jangan jadi seperti orang yang pecahkan kendi, kemudian sibuk bergaduh tentang warna kendi,” katanya.

Mahfuz pada masa sama menjelaskan istilah Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI tidak semestinya bercanggah kerana kedua-duanya merujuk kepada perkara berbeza. Menurutnya, Kerajaan Perpaduan ialah wadah politik yang menghimpunkan pelbagai parti, manakala MADANI merupakan gagasan serta pendekatan pentadbiran negara yang membawa nilai seperti kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan.

Katanya, rakyat tidak akan merasai perbezaan hanya kerana kerajaan menggunakan satu nama atau nama yang lain, sebaliknya mereka mahu melihat pendapatan meningkat, kos sara hidup terkawal, ekonomi berkembang, rasuah dibanteras serta masa depan anak-anak mereka lebih terjamin.

“Rakyat tidak makan jenama. Rakyat tidak makan nama kerajaan. Rakyat makan hasil kerajaan. Rakyat tidak membayar bil dengan perkataan ‘Perpaduan’. Rakyat tidak membeli barang dapur dengan perkataan ‘MADANI’.”

Justeru, Mahfuz menyifatkan pertikaian mengenai nama kerajaan sebagai perkara kecil yang tidak sepatutnya mengatasi isu lebih besar berkaitan ekonomi, kebajikan dan masa depan rakyat. Beliau berkata Kerajaan Perpaduan bukan kerajaan milik satu parti, sebaliknya kerajaan yang dibentuk oleh pelbagai parti dan setiap parti yang berada di dalamnya mempunyai tanggungjawab bersama.

“Kalau benar mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan, mengapa menyerang kerajaan sendiri? Kalau benar mahu menjaga perpaduan, mengapa setiap perkara remeh dijadikan modal politik parti?” katanya.

Mahfuz menegaskan bahawa perpaduan tidak boleh diukur berdasarkan nama yang tertera pada papan tanda, sebaliknya melalui kesediaan semua parti untuk duduk semeja, membuat keputusan bersama dan memikul tanggungjawab terhadap keputusan kerajaan.

“Pertahan nama, tapi robohkan perpaduan?” katanya, sambil mengingatkan bahawa rakyat sudah matang dan tidak mahu pemimpin terus bergaduh mengenai nama kerajaan ketika mereka lebih mengharapkan kerajaan bekerja menyelesaikan masalah kehidupan.

BACA JUGA Kenapa Najib perlu dilayan berbeza? – Aziz Bari