Maruah wanita bukan bahan gurauan, WARDA kecam Zahid soal Noraini 

Gurauan mengenai perubahan fizikal dan usia Datuk Seri Noraini Ahmad pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026 mengundang teguran apabila Timbalan Ketua WARDA Nasional, Aishah Zain menyifatkannya sebagai tidak wajar bagi seorang pemimpin kanan negara.

Aishah berkata, tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjadikan tubuh Noraini sebagai bahan gurauan, termasuk membandingkan penampilannya dengan “nenek-nenek”, tidak sepatutnya berlaku di pentas politik.

“Menjadi nenek bukan aib. Wanita berusia mempunyai pengalaman dan sumbangan yang wajib dihormati.

“Noraini berhak dinilai melalui kemampuan serta khidmatnya, tanpa tubuh dan usia dijadikan bahan untuk memperlekeh beliau,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, budaya menjadikan penampilan wanita sebagai bahan jenaka boleh memberi kesan lebih besar daripada sekadar gurauan di atas pentas kerana ia berisiko membentuk persepsi bahawa wanita perlu dinilai berdasarkan fizikal.

Beliau berkata keadaan itu juga boleh melemahkan keyakinan wanita untuk tampil lebih aktif dalam politik, khususnya apabila pemimpin wanita sendiri menjadi sasaran komen mengenai tubuh dan usia mereka.

“Apabila penampilan pemimpin wanita dijadikan bahan jenaka di pentas besar, kita sedang membiasakan masyarakat menilai wanita melalui fizikalnya.

“Presiden parti sepatutnya menunjukkan teladan dalam menghormati rakan kepimpinan,” katanya.

Kenyataan Aishah itu hadir selepas Zahid ketika ucapan penggulungan PAU 2026 bergurau mengenai Noraini yang disifatkannya semakin kurus dan “nampak macam nenek-nenek”. Rakaman ucapan tersebut turut menunjukkan Zahid menyuruh Noraini makan lebih sedikit.

Isu berkenaan kemudian mendapat respons daripada anak Zahid, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, yang memohon maaf kepada Noraini secara peribadi sekiranya gurauan bapanya mengguris hati Ketua Wanita Umno itu.

Nurulhidayah berkata beliau percaya bapanya berniat bergurau dan tidak bermaksud merendahkan sesiapa, namun mengakui gurauan mengenai fizikal atau usia seseorang tidak sepatutnya dijadikan bahan jenaka.

Mengulas dari sudut agama, Aishah berkata Surah al-Hujurat ayat 11 jelas melarang perbuatan mengejek, mencela serta memberikan gelaran buruk kepada orang lain.

Katanya, alasan bahawa sesuatu kenyataan dibuat secara bergurau tidak seharusnya menghilangkan tanggungjawab seseorang untuk menjaga tutur kata serta maruah orang lain.

Dalam pada itu, Aishah menghargai permohonan maaf Nurulhidayah berhubung kenyataan bapanya, namun berpendapat Zahid sendiri wajar mengambil tanggungjawab dan memohon maaf kepada Noraini.

“Penghormatan terhadap wanita mesti terlihat dalam tutur kata dan tindakan pemimpin,” katanya.

Aishah turut menegaskan perbezaan politik tidak menghalangnya untuk mempertahankan maruah Noraini sebagai seorang wanita.

“Perbezaan parti tidak mengurangkan tanggungjawab saya mempertahankan maruahnya sebagai seorang wanita,” katanya.

Persoalannya, dalam politik yang semakin kompetitif, sejauh mana gurauan mengenai rupa, tubuh dan usia masih boleh dianggap sekadar gurauan dan bila ia mula menjadi penghinaan terhadap wanita?

BACA JUGA Walau bukan ahli penuh, Malaysia kekal aktif dalam BRICS -Anwar