Selepas PAU 2026: PRN Melaka ujian strategik PH, bukan sekadar pertarungan PKR-Umno

Oleh DR AZRIE AZEH

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang bakal berlangsung tidak wajar dibaca semata-mata sebagai pertandingan menentukan penguasaan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Lebih daripada itu, ia merupakan ujian strategik terhadap daya tahan Pakatan Harapan (PH), keupayaan parti-parti komponennya mengurus hubungan dengan Barisan Nasional (BN), serta kemampuan Kerajaan Madani menukar legitimasi pemerintahan kepada legitimasi elektoral.

Dalam kerangka lebih luas, Melaka boleh menjadi testing ground bagi konfigurasi politik menuju Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Kepentingannya menjadi lebih ketara selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026.

Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, secara terbuka menyatakan bahawa UMNO mahu PRU16 disegerakan bagi mendapatkan semula mandat untuk menerajui kepimpinan negara dan tidak sekadar menjadi “pelengkap” dalam kerajaan.

Beliau turut menegaskan bahawa PAU 2026 berkemungkinan menjadi perhimpunan terakhir UMNO sebelum PRU16 dan memperkenalkan kerangka TEKAD 16 — Teguhkan parti, Eratkan saf, Kuasai medan, Anjakkan strategi dan Dekati rakyat.

Perkembangan tersebut mempunyai implikasi langsung terhadap PH.

Persoalan politik di Melaka bukan sekadar sama ada PKR dapat menambah kerusi atau BN mampu mempertahankan kemenangan 2021, tetapi sama ada PH boleh mengurus kerjasama dengan BN tanpa kehilangan autonomi politik, identiti reformasi dan keupayaan membina kekuatan elektoral sendiri.

Jika gagal, PH berisiko terperangkap dalam asymmetric coalition dependency — berada dalam kerajaan tetapi semakin bergantung kepada rakan yang mempunyai kelebihan organisasi atau geografi pilihan raya tertentu.

Sebaliknya, jika hubungan itu diurus secara strategik, PRN Melaka boleh menjadi batu loncatan kepada pengukuhan PH menjelang PRU16.

Melaka sebagai makmal politik Kerajaan Madani

PRN Melaka mempunyai nilai analitikal yang lebih besar daripada saiz geografinya.

Pada PRN 2021, BN memperoleh 21 daripada 28 kerusi, PH lima dan PN dua. BN memperoleh majoriti dua pertiga dan membentuk kerajaan negeri.

Namun, keputusan 2021 tidak boleh dijadikan petunjuk langsung kepada pilihan raya akan datang kerana struktur politik Malaysia telah berubah.

Parti-parti yang ketika itu berada dalam blok persaingan kini sebahagiannya berkongsi ruang pemerintahan di peringkat Persekutuan.

Justeru, Melaka menjadi ujian sama ada kerjasama di peringkat pemerintahan boleh diterjemahkan kepada kerjasama pilihan raya tanpa menghakis identiti dan autonomi parti.

Inilah persoalan electoral conversion — sejauh mana modal politik daripada pemerintahan dapat ditukarkan kepada sokongan pilihan raya.

Kedudukan dalam Kerajaan Madani tidak secara automatik menghasilkan undi kerana legitimasi pentadbiran dan legitimasi elektoral bukan perkara yang sama.

PAU 2026: Umno sedang mengubah posisi tawar-menawar

PAU 2026 menambah satu dimensi penting kepada analisis Melaka.

Retorik kepimpinan UMNO menunjukkan parti itu bukan sekadar mahu mempertahankan kedudukannya dalam kerajaan, tetapi mahu meningkatkan peranan dalam menentukan konfigurasi pemerintahan selepas PRU16.

Seruan Ahmad Zahid supaya PRU16 disegerakan serta hasrat mendapatkan semula mandat untuk menerajui negara boleh dibaca sebagai usaha meningkatkan bargaining power.

Dalam politik gabungan, kuasa bukan sahaja ditentukan oleh jumlah kerusi, tetapi juga kemampuan sesebuah parti meyakinkan rakan bahawa sokongannya diperlukan untuk menang atau mengekalkan kestabilan pemerintahan.

Melaka mempunyai nilai simbolik dalam konteks ini.

UMNO/BN memenangi 21 kerusi pada 2021, manakala Ab Rauf Yusoh telah menyatakan hasrat mempertahankan kesemua kerusi tersebut.

Maka, angka 21 bukan sekadar soal pembahagian kerusi, tetapi juga titik awal kuasa tawar-menawar.

BN Plus: Bukan pakatan muktamad, tetapi instrumen rundingan

BN Plus belum boleh dianggap sebagai formula kerjasama PH-BN yang telah dimuktamadkan.

Setakat ini, yang wujud ialah ruang rundingan.

Pada 6 September, Ahmad Zahid memberikan mandat kepada Ab Rauf untuk berunding dengan mana-mana pihak bagi menghadapi PRN Melaka, dengan syarat rakan tersebut menyumbang kepada kemenangan dan membolehkan BN terus menerajui pentadbiran negeri.

Ab Rauf kemudian menjelaskan bahawa BN belum mengadakan rundingan dengan mana-mana pihak dan perbincangan hanya akan dibuat selepas pembubaran DUN.

Ketidakpastian ini sendiri mempunyai nilai dalam rundingan politik.

Dengan mengekalkan ruang terbuka sambil mempertahankan 21 kerusi sebagai titik permulaan, BN menetapkan reservation point — had minimum yang ingin dipertahankan.

Bagi PH, rundingan tidak seharusnya semata-mata mengejar jumlah kerusi, tetapi menilai nilai elektoral sebenar sesuatu kawasan, kekuatan calon dan jentera, serta nilai strategiknya menjelang PRU16.

Rundingan kerusi perlu berasaskan electoral viability, bukan hanya sejarah kemenangan.

21 kerusi BN bukan semestinya 21 kerusi yang tidak boleh berubah

Pendirian BN mempertahankan 21 kerusi perlu dihormati sebagai posisi rundingan, tetapi tidak wajar dianggap sebagai realiti elektoral yang kekal.

Kemenangan 2021 berlaku dalam konteks politik yang berbeza.

BN juga tidak memenangi sebarang kerusi Parlimen di Melaka dalam PRU15 pada 2022, menunjukkan bahawa prestasi pilihan raya negeri dan umum tidak semestinya bergerak secara linear.

Kekuatan sejarah tidak sama dengan kekuatan semasa.

PH perlu menilai setiap kawasan berdasarkan data seperti demografi, margin kemenangan, peralihan undi, profil calon, kekuatan organisasi, isu tempatan dan tahap persaingan.

PH dan PKR: daripada persoalan kerusi kepada persoalan autonomi

Dalam struktur PH, PKR mempunyai kedudukan yang unik kerana berpotensi beroperasi merentasi segmen pengundi, termasuk kelompok Melayu dan separa bandar.

Namun, kekuatan itu tidak boleh bergantung secara berlebihan kepada populariti kepimpinan nasional.

PRN Melaka perlu menjadi ujian kepada institutionalisation of party strength — sejauh mana kekuatan politik diterjemahkan daripada personaliti pemimpin kepada organisasi, calon dan struktur akar umbi.

Kenyataan Ketua AMK Muhammad Kamil Munim pada Kongres PKR 2026 bahawa populariti semata-mata tidak mencukupi menggariskan keperluan memperkukuh akar umbi.

Keupayaan mengenal pasti jurang antara populariti politik dengan kapasiti organisasi ialah langkah penting untuk memperbaiki kekuatan parti.

Nurul Izzah dan persoalan kematangan institusi PKR

Perkembangan berkaitan Nurul Izzah Anwar tidak wajar dilihat semata-mata sebagai isu personal atau perebutan jawatan.

Nurul Izzah masih Timbalan Presiden PKR, tetapi mengambil cuti sementara daripada tugas parti selepas kepimpinan PKR tidak menerima permintaannya untuk melepaskan jawatan tersebut.

Saifuddin Nasution Ismail diberikan tanggungjawab menjalankan tugas Timbalan Presiden buat sementara, manakala Amirudin Shari kekal sebagai Pengarah Pilihan Raya.

Ujian sebenar kepada PKR ialah sama ada struktur parti mampu berfungsi tanpa bergantung kepada seorang individu.

Jika pengagihan fungsi dan kesinambungan kepimpinan berjalan tanpa menjejaskan persiapan pilihan raya, perkembangan ini boleh menjadi ukuran kematangan institusi.

Pada masa sama, penegasan Nurul Izzah bahawa perjuangan reformasi perlu diteruskan walaupun PKR sudah berada dalam kerajaan menyentuh persoalan lebih besar kepada PH.

Apa yang membezakan PH ketika menjadi kerajaan daripada ketika menjadi pembangkang?

Jika kuasa pemerintahan digunakan untuk memperkukuh institusi, memperluas peluang ekonomi, meningkatkan keadilan sosial dan melaksanakan reformasi secara berperingkat, PH mempunyai asas dasar yang lebih jelas untuk meminta mandat seterusnya.

Nurul Izzah sebagai aset reformasi

Nilai Nurul Izzah kepada PH tidak semestinya bergantung kepada kedudukannya di barisan hadapan kempen.

Kekuatan beliau juga boleh terletak pada ruang idea, reformasi institusi, masyarakat sivil dan kesinambungan nilai Reformasi.

Ini membuka ruang kepada pemahaman bahawa kepimpinan bukan semata-mata penguasaan jawatan, tetapi juga penghasilan modal intelektual, moral dan institusi.

Dalam kerangka itu, isu beliau boleh menjadi ujian kepada kemampuan PKR mengurus perbezaan dan penggiliran tanggungjawab tanpa memecahkan organisasi.

DAP dan AMANAH: Kekuatan PH bukan milik PKR sahaja

Masa depan PH tidak boleh dianalisis melalui lensa PKR semata-mata.

PH ialah gabungan dan kekuatannya bergantung kepada complementarity antara komponennya.

PKR mempunyai kelebihan tertentu dalam membina jambatan politik merentas kelompok pengundi.

DAP mempunyai kekuatan organisasi dan jaringan sokongan tersendiri, manakala Amanah mempunyai nilai strategik dalam membawa naratif Islam progresif dan sederhana serta memperluas penerimaan dalam kalangan pengundi Melayu.

Ketiga-tiga parti perlu bergerak sebagai ekosistem politik yang saling melengkapi, bukan sekadar entiti yang berkongsi logo.

PH tidak memerlukan setiap parti menjadi sama, tetapi setiap parti perlu membawa nilai kepada gabungan.

Mengurus perbezaan dalam PH

Cabaran PH ialah mengekalkan kepelbagaian tanpa membenarkannya berubah menjadi perpecahan.

Ini memerlukan coalition discipline.

Parti komponen perlu mempunyai ruang identiti masing-masing, tetapi dalam isu strategik seperti pembahagian kerusi, calon, dasar kerajaan dan mesej pilihan raya, koordinasi perlu jelas.

Kerjasama terlalu longgar menghasilkan pertindihan, manakala kerjasama terlalu ketat boleh menghilangkan identiti parti.

Formula yang diperlukan ialah differentiated unity — bersatu dalam matlamat strategik sambil mengekalkan nilai tambah setiap komponen.

Ini penting kerana pengundi tidak membuat keputusan hanya berdasarkan label gabungan. Faktor calon, isu tempatan, reputasi wakil rakyat dan hubungan sosial setempat juga memainkan peranan.

Kesilapan strategik: Menganggap kerajaan sama dengan parti

PH perlu mengelakkan kesilapan menyamakan prestasi kerajaan dengan prestasi parti.

Seorang pengundi boleh berpuas hati dengan kerajaan Persekutuan tetapi tidak mengundi calon PH, atau menyokong Perdana Menteri tetapi membuat pilihan berbeza dalam pilihan raya negeri.

Begitu juga, seseorang boleh mempunyai masalah dengan kerajaan Persekutuan tetapi tetap memilih calon tempatan yang dianggap berkesan.

PRN Melaka perlu dilihat melalui multi-level electoral dynamics yang menggabungkan naratif nasional, negeri dan mikro-lokal.

Ukuran kejayaan PH bukan sekadar jumlah kerusi

Prestasi PH di Melaka wajar dinilai melalui beberapa dimensi: perubahan bahagian undi, geografi sokongan, kualiti calon, kapasiti organisasi dan kesan terhadap daya tawar menjelang PRU16.

PH mungkin memenangi lebih banyak kerusi tetapi masih kehilangan daya tawar jika kemenangan terlalu bergantung kepada rakan gabungan.

Sebaliknya, PH mungkin tidak memperoleh lonjakan kerusi besar tetapi meningkatkan undi, menembusi kawasan baharu dan membina organisasi lebih kukuh.

Dari sudut strategi jangka panjang, kedua-dua ukuran perlu dilihat bersama.

Tiga senario dan implikasinya kepada PH

Jika BN mempertahankan sebahagian besar daripada 21 kerusi, Umno boleh menggunakan keputusan itu untuk mengukuhkan hujah bahawa organisasinya masih kuat dan meningkatkan daya tawar menjelang PRU16.

Bagi PH, ukuran penting dalam senario ini ialah sama ada bahagian undi, kawasan sokongan dan kekuatan organisasinya bertambah.

Jika PH meningkatkan kerusi dan undi, ia menunjukkan bahawa gabungan itu mempunyai nilai elektoral tersendiri selain kedudukannya dalam Kerajaan Madani.

Jika pertandingan menjadi jauh lebih sengit, ia mungkin menunjukkan berlaku realignment dalam politik Melaka.

Dalam keadaan itu, PH perlu memastikan perubahan tersebut turut memperkukuh kedudukannya dan bukan sekadar mengubah imbangan antara BN dan PN.

PN juga merupakan pemboleh ubah yang tidak boleh diabaikan

Analisis PH-BN yang mengabaikan PN akan menghasilkan gambaran tidak lengkap.

Jika pertandingan tiga penjuru berlaku, pembahagian undi menjadi faktor penting.

PH dan BN mungkin mempunyai kepentingan bersama untuk mengelakkan pecahan undi dalam kawasan tertentu, tetapi kerjasama tidak seharusnya membawa kepada pengorbanan strategik yang berlebihan oleh mana-mana pihak.

Persoalan yang perlu dijawab ialah di kawasan mana kerjasama meningkatkan peluang kemenangan dan di kawasan mana PH mempunyai kekuatan sendiri.

Jawapan itu perlu berasaskan data.

Kerjasama PH-BN mesti mempunyai tujuan politik

Jika rundingan berlaku, kerjasama tidak seharusnya berhenti pada formula “siapa bertanding di mana”.

Electoral pact hanya menentukan pembahagian kerusi.

Governing coalition yang lebih bermakna pula memerlukan dasar, matlamat pentadbiran dan naratif bersama.

PH perlu membawa agenda jelas seperti reformasi institusi, tadbir urus bersih, pertumbuhan ekonomi inklusif, peluang pekerjaan berkualiti, mobiliti sosial, perumahan, pendidikan, pembangunan anak muda, pengukuhan ekonomi negeri dan perkhidmatan awam berkesan.

Dengan itu, PH memasuki rundingan bukan sekadar meminta ruang, tetapi menawarkan nilai politik dan pentadbiran.

Hubungan PH-Umno dan keseimbangan kuasa

Kebangkitan semula Umno tidak semestinya perlu dibaca sebagai ancaman kepada PH.

Dalam sistem gabungan, persoalan utama ialah keseimbangan kuasa.

Matlamat PH bukan memastikan Umno lemah, tetapi memastikan PH mempunyai kekuatan mencukupi supaya hubungan kedua-duanya bersifat saling memerlukan dan bukan kebergantungan sebelah pihak.

Inilah mutual interdependence yang lebih sihat dalam politik gabungan.

Melaka sebagai referendum kecil terhadap politik Kerajaan Madani

PRN Melaka boleh menjadi referendum politik berskala kecil terhadap kemampuan Kerajaan Madani membina kestabilan tanpa mengorbankan reformasi.

Jika kerjasama politik dapat diterjemahkan kepada pentadbiran lebih baik dan bukan sekadar pembahagian jawatan, naratif itu boleh dibawa ke PRU16.

Sebaliknya, jika kerjasama dilihat terlalu tertumpu pada pengurusan kuasa, pembangkang mempunyai ruang untuk membingkaikannya sebagai kompromi prinsip.

Cabaran Kerajaan Madani ialah menunjukkan bahawa kestabilan dan reformasi boleh bergerak serentak.

Kesimpulan: Melaka sebagai ujian strategik PH

PAU 2026 menunjukkan bahawa UMNO sedang meningkatkan daya tawarnya menjelang PRU16 melalui mobilisasi organisasi dan mesej politik yang lebih tegas.

PH pula perlu menjawab perkembangan ini dengan pengukuhan institusi, strategi pilihan raya berasaskan data dan naratif politik yang lebih koheren.

PRN Melaka menyediakan medan untuk menguji ketiga-tiga perkara tersebut.

PKR perlu memperkukuh akar umbi dan menunjukkan bahawa kekuatannya tidak bergantung semata-mata kepada personaliti nasional.

Perkembangan berkaitan Nurul Izzah perlu diurus sebagai ujian kematangan institusi, sementara DAP dan Amanah perlu terus memainkan fungsi strategik masing-masing dalam mengekalkan serta memperluas sokongan PH.

Dalam sebarang rundingan dengan BN, PH perlu berpandukan data semasa dan bukannya sejarah semata-mata.

BN boleh mempertahankan 21 kerusi sebagai posisi rundingan, tetapi kekuatan semasa tetap perlu menjadi ukuran utama.

Persoalan paling penting bukan semata-mata sama ada PH perlu bekerjasama dengan BN, tetapi dalam keadaan apakah kerjasama meningkatkan peluang kemenangan dan dalam keadaan apakah ia menghakis autonomi politik PH.

Kemenangan pilihan raya diukur melalui kerusi.

Kemenangan strategik pula diukur melalui undi, organisasi, legitimasi, autonomi dan daya tawar.

Selepas PRN Melaka, persoalan yang lebih penting bukan hanya siapa memperoleh 28 kerusi, tetapi siapa keluar dengan organisasi lebih kukuh, sokongan lebih luas, legitimasi lebih tinggi dan kedudukan tawar-menawar lebih baik menjelang PRU16.

Dalam erti kata itu, Melaka bukan sekadar medan pilihan raya, tetapi ujian terhadap kemampuan PH menukar kedudukan dalam Kerajaan Madani kepada kekuatan politik yang lebih tersusun dan berkekalan.

BACA JUGA Anwar pulang dari Maldives dengan agenda besar, Petronas bakal teroka kerjasama tenaga