Dengar keluhan rakyat, PMX umum mesyuarat khas esok cari jalan kurangkan kesan bil elektrik
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Kerajaan MADANI akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.
Anwar berkata, sekembali daripada India dan Maldives, perhatiannya terus tertumpu kepada keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.
“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut Anwar, ikhtiar penyasaran subsidi terus dipertahankan bagi melindungi majoriti rakyat.
Katanya, sekitar 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.
Cuaca lebih panas
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan jerebu serta cuaca lebih panas mutakhir ini mendorong peningkatan penggunaan elektrik dalam kalangan sebahagian isi rumah.
Keadaan itu menyebabkan penggunaan bulanan mereka melepasi paras 600 kWj dan sekali gus tertakluk kepada Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA).
Justeru, Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan mengadakan mesyuarat khas esok bersama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Suruhanjaya Tenaga (ST), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Kementerian Kewangan (MOF).
Mesyuarat itu akan meneliti langkah mitigasi segera bagi mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.
“Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap langkah penyasaran subsidi dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” tegas Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA “Perdana Menteri datang dan pergi tetapi negara mesti diselamatkan”