Dron dipintas dekat Makkah, PMX pertegas ancaman terhadap kota suci tidak boleh diterima sama sekali
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian Makkah al-Mukarramah tidak boleh diterima sama sekali susulan laporan sebuah dron berjaya dipintas berhampiran kota suci itu.
Perdana Menteri berkata, beliau mengikuti laporan mengenai insiden berkenaan dan menegaskan keselamatan Makkah, sebagai kota paling suci umat Islam, perlu terus dipelihara.
“Sebarang percubaan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian kota paling suci umat Islam ini tidak boleh diterima sama sekali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia turut menzahirkan dukungan kepada Kerajaan Arab Saudi serta menghargai tindakan pantas yang diambil bagi memastikan keselamatan penduduk dan para jemaah di Makkah terus terpelihara.
Beliau berkata, insiden itu sekali lagi memperlihatkan keperluan untuk mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan lebih meruncing di rantau tersebut.
Sehubungan itu, Malaysia menyeru supaya segala serangan terhadap kawasan awam dihentikan serta-merta, termasuk sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan dan kesucian tempat-tempat suci.
Dalam masa sama, Anwar turut menggesa semua pihak yang terlibat memilih jalan damai menerusi dialog bagi meredakan ketegangan.
Katanya, usaha mencari penyelesaian secara aman perlu dilakukan tanpa berlengah bagi mengelakkan keadaan menjadi semakin buruk.
Sementara itu, Arab Saudi mendakwa dron Houthi menuju ke Makkah dan berjaya memintasnya sebelum memasuki ruang udara larangan kota suci itu.
Houthi bagaimanapun menafikan Makkah menjadi sasaran.
Insiden itu berlaku ketika pertempuran Saudi-Houthi kembali memuncak.
Al Jazeera melaporkan serangan dron dan peluru berpandu Houthi terhadap beberapa lokasi di Arab Saudi meningkat sejak awal bulan ini.
BACA JUGA Selepas Kedutaan AS nafi dakwaan, Hadi sudah beri keterangan kepada polis