Bukan TNB saja, Suruhanjaya Tenaga mesti tampil jawab isu bil elektrik melambung

Suruhanjaya Tenaga (ST) digesa tampil memberi penjelasan berhubung isu kenaikan mendadak bil elektrik yang dipersoalkan pengguna ketika ini, dan bukan membiarkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sahaja berdepan desakan orang ramai.

Aktivis, Zainal Rashid Ahmad (ZRA) berkata, pengguna berhak mengetahui bagaimana mekanisme yang digunakan dalam pengiraan bil boleh menyebabkan jumlah bayaran melonjak dengan ketara sejak beberapa bulan lalu.

Menurutnya, antara perkara yang perlu diperjelaskan ialah pelaksanaan Pelarasan Kos Bahan Api Secara Automatik (AFA) yang menggantikan mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT), khususnya apabila pelarasan kini dibuat secara bulanan.

“Kamu berada dalam Suruhanjaya Tenaga ini bukanlah hanya ditubuhkan untuk meluluskan permintaan TNB menaikkan bil elektrik,” ujarnya dalam satu podcast di YouTube.

Wartawan veteran berkenaan turut membangkitkan persoalan bagaimana sesetengah pengguna boleh berdepan kenaikan bil yang mencecah antara 30 peratus hingga lebih 50 peratus dalam tempoh empat bulan.

Beliau berkata, pengguna tidak sepatutnya dibebankan dengan istilah teknikal atau perniagaan semata-mata, sebaliknya mekanisme pengiraan bil perlu diterangkan dalam bahasa yang mudah difahami.

Tidak berdiam diri

Penerima pelbagai anugerah kewartawanan serta sastera itu berkata, isu berkenaan tidak wajar dilihat sebagai persoalan terhadap TNB semata-mata kerana ST juga mempunyai peranan berkaitan mekanisme dan kawal selia sektor tenaga.

Justeru, beliau menegaskan bahawa ST perlu tampil menjelaskan perkara tersebut kepada pengguna dan tidak berdiam diri ketika semakin banyak persoalan dibangkitkan mengenai bil bulanan.

“Suruhanjaya Tenaga perlu sedar, keputusan terdahulu, kini sangat membebankan pengguna,” tegasnya.

Beliau berkata, apa yang dituntut pengguna ialah penjelasan terbuka mengenai kaedah pengiraan sehingga berlaku kenaikan besar pada bil mereka, bukannya sekadar mengetahui jumlah akhir yang perlu dibayar.

Dalam masa sama, ZRA menegaskan bahawa gerakan menerusi tanda pagar #BilNaikTNB akan diteruskan sebagai ruang untuk pengguna berkongsi pengalaman mengenai bil masing-masing secara berhemah dan beradab serta menuntut penjelasan terhadap kenaikan yang berlaku.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan satu mesyuarat khas mengenai peningkatan bil elektrik akan diadakan hari ini.

Mesyuarat khas itu melibatkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), ST, TNB serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti langkah mitigasi segera untuk mengurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah yang terlibat.

Anwar berkata sekembalinya beliau daripada India dan Maldives, perhatiannya terus tertumpu kepada keresahan rakyat berhubung kenaikan bil elektrik sejak kebelakangan ini.

“Saya mendengar keluhan yang disuarakan dan perkara ini perlu diberi perhatian serta ditangani segera,” kata Perdana Menteri.

Menurut Anwar, kira-kira 80 peratus pengguna domestik yang menggunakan elektrik tidak melebihi 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan kekal dilindungi dan tidak terkesan dengan kenaikan kadar susulan peningkatan kos bahan api tahun ini.

BACA JUGA Akhirnya Zahid berdepan ‘guru’ selepas episod “cukup-cukuplah guru” di PAU