DAP kekal tegas isu 1MDB, hormati kuasa pengampunan Agong

Isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kembali menjadi perhatian, namun bagi DAP, perbincangan mengenainya tidak seharusnya memadamkan hakikat mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad atau 1MDB serta kesannya terhadap negara.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook menegaskan bahawa skandal 1MDB merupakan antara episod rasuah terbesar dalam sejarah Malaysia yang telah mencemarkan imej negara di peringkat antarabangsa. 

Menurut beliau, kes tersebut bukan sekadar persoalan politik, tetapi melibatkan soal akauntabiliti, kedaulatan undang-undang dan tanggungjawab terhadap wang rakyat.

“DAP sejak awal konsisten menuntut keadilan dan akauntabiliti dalam skandal 1MDB. Kami memperjuangkan supaya penyelewengan ini disiasat secara menyeluruh dan mereka yang bertanggungjawab dibawa untuk melalui proses undang-undang yang bebas dan adil,” katanya.

Menurut kenyataan itu, kesan kewangan berkaitan 1MDB masih ditanggung negara. Berdasarkan angka Kementerian Kewangan yang dirujuk DAP bertarikh 13 September 2026, keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion. 

Daripada jumlah tersebut, RM42.5 bilion telah dibayar kerajaan manakala baki hutang berjumlah RM8.9 bilion.

DAP turut mengingatkan bahawa kemarahan rakyat terhadap skandal 1MDB merupakan antara faktor yang mencorakkan perubahan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018. 

Justeru, parti itu menegaskan bahawa amanah untuk menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan terus menjadi sebahagian daripada prinsip perjuangannya.

Dalam isu berkaitan proses pengampunan pula, DAP menyatakan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh telah menyampaikan pandangan yang menurut parti itu selaras dengan prinsip perjuangan DAP ketika menjalankan tanggungjawab sebagai anggota Lembaga Pengampunan.

Pada masa sama, Loke menegaskan bahawa pendirian terhadap 1MDB tidak bermaksud DAP mengetepikan kerangka Perlembagaan dalam soal pengampunan.

“DAP menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. 

DAP sentiasa menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan Keluhuran Perlembagaan, di samping mempertahankan kedaulatan undang-undang serta perjuangan menentang rasuah,” katanya.

Loke berkata Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan bermesyuarat bagi membincangkan isu berkenaan serta menentukan pendirian dan tindakan susulan parti.

BACA JUGA Umno lancar tabung bantu bayar denda RM50 juta Najib