55 rakyat Malaysia masih hilang, Anwar aju mekanisme khas kepada  PM Nepal

Usaha mendapatkan kepastian mengenai nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan bencana dahsyat di Nepal kini turut memasuki soal bagaimana nasib waris mereka boleh diuruskan sekiranya operasi pencarian tidak membuahkan hasil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah bagi memperincikan cadangan mewujudkan satu mekanisme rasmi sekiranya mangsa masih gagal ditemukan.

Menurut Anwar, mekanisme itu penting bagi membolehkan keluarga yang terkesan menguruskan pelbagai urusan berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran sekiranya tiada kepastian dapat diperoleh melalui operasi pencarian.

Cadangan itu dibangkitkan Anwar ketika beliau mengadakan perbualan telefon dengan Shah sebelum berlepas ke China pagi ini.

“Saya turut membangkitkan keperluan mewujudkan suatu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan proses pencarian tidak dapat memberikan kepastian.

“Langkah ini penting bagi membantu keluarga yang terkesan menguruskan perkara berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.

“Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Cadangan mekanisme berkenaan hadir ketika 55 rakyat Malaysia masih direkodkan sebagai belum dapat dihubungi.

Wisma Putra sebelum ini menegaskan bahawa tamatnya penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Nepal tidak bermakna usaha mendapatkan kepastian mengenai status mereka dihentikan.

Sebaliknya, pihak berkuasa Nepal masih meneruskan proses pencarian, pengesahan dan pengecaman, manakala Kedutaan Malaysia di Kathmandu terus mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa tempatan serta membuat semakan dengan hospital dan agensi berkaitan.

Dalam perbualan dengan Shah, Anwar turut menyampaikan rasa simpati dan dukacita kepada kerajaan serta rakyat Nepal susulan bencana yang melanda negara itu.

Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada kerajaan Nepal, pihak berkuasa dan pasukan penyelamat yang terus menjalankan operasi mencari mangsa.

Menurut Anwar, Shah menjelaskan keadaan di lapangan masih amat rumit berikutan skala bencana dan kemusnahan yang besar.

“PM Shah menjelaskan bahawa keadaan di lapangan masih amat rumit, dengan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan seumpama tsunami,” katanya.

Anwar berkata beliau turut menyampaikan keresahan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menunggu kepastian mengenai nasib insan tersayang.

Shah, katanya, memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya walaupun keadaan di lapangan semakin mencabar.

Sebelum ini, keluarga rakyat Malaysia yang masih belum ditemui turut menggesa kerajaan memastikan semua saluran munasabah digunakan bagi mendapatkan kepastian mengenai nasib anggota keluarga mereka.

Kerajaan juga sebelum ini memaklumkan usaha mendapatkan dokumen yang boleh mengesahkan kehilangan penting bagi membantu waris dalam urusan termasuk tuntutan insurans.

BACA JUGA Tunggu-16 bukan halangan belajar, ibu bapa dan sekolah perlu main peranan