Bukan pasal tanah adat pun, khazanah nadir bumi RM30 bilion didakwa punca kemelut Negeri Sembilan

Kemelut berlarutan yang melanda Negeri Sembilan ketika ini didakwa bukan semata-mata berpunca daripada pertikaian mengenai tanah adat.

Sebaliknya, mungkin mempunyai kaitan dengan perebutan pengaruh terhadap sumber nadir bumi bernilai puluhan bilion ringgit di negeri itu.

Dakwaan itu diketengahkan pemilik Facebook Nokta.my menerusi satu hantaran dan video yang mempersoalkan naratif bahawa gerakan menentang Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selama ini tercetus kerana baginda kononnya mencampuri urusan tanah adat.

Menurut Nokta.my, memang wujud isu berkaitan tanah dalam pertikaian tersebut, namun perhatian perlu diberikan kepada sumber unsur nadir bumi yang terdapat di Negeri Sembilan dan siapa yang mempunyai kuasa terhadap pembangunan sumber berkenaan.

Untuk rekod, kerajaan Negeri Sembilan pada Oktober 2023 dilapor menganggarkan sumber unsur nadir bumi (REE) di negeri tersebut mempunyai nilai pasaran sehingga RM30 bilion.

Kerajaan negeri kemudiannya meluluskan prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) pada 3 Januari 2024 yang menetapkan semua pembangunan sumber itu perlu membabitkan kerjasama dengan Menteri Besar Incorporated (MBI) bagi tujuan pemantauan dan kawalan.

Namun, Nokta.my mendakwa keadaan menjadi lebih rumit apabila melibatkan tanah adat kerana urusan tanah berkenaan turut mempunyai kaitan dengan struktur dan kuasa adat, termasuk institusi Undang.

Alamat perniagaan

Video itu kemudian mengetengahkan beberapa rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan sebuah syarikat ditubuhkan hanya 16 hari selepas pengumuman SOP itu dengan seorang Undang dikatakan mempunyai pegangan saham, manakala alamat perniagaannya pula menggunakan Balai Undang.

Pendedahan itu turut menyebut sebuah lagi syarikat yang baru ditubuhkan menerima surat berkaitan kuasa mencari gali nadir bumi seluas 100 ekar, sebelum seorang Undang kemudiannya dikatakan menjadi pengarah dalam kumpulan syarikat yang sama.

Nokta.my juga menyusun satu kronologi, termasuk peletakan jawatan daripada sebuah syarikat pada 18 Mac, kira-kira sebulan sebelum proklamasi pada April berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz, selain kemunculan sebuah lagi syarikat berkaitan perlombongan emas.

Namun, laman tersebut menyifatkan penubuhan syarikat atau kegiatan perniagaan itu bukan jenayah sebaliknya, apa yang ditimbulkan adalah persoalan sama ada terdapat kepentingan ekonomi yang lebih besar di sebalik pertikaian kuasa yang sedang berlaku.

Rakaman itu juga tidak membuat kesimpulan bahawa kepentingan nadir bumi adalah motif sebenar mana-mana individu.

Hantaran tersebut turut mengakui bahawa mereka tidak boleh mengetahui niat seseorang dan hanya meminta orang ramai menilai dokumen serta kronologi yang diketengahkan.

BACA JUGA ‘Perpaduan ummah’ Pas dikitar semula menjelang PRN Melaka, ramai ungkit kemelut kuasa di Negeri Sembilan