Teknologi makin canggih, tapi Anwar kata ada satu perkara yang tentukan masa depan negara

Mesin boleh menjadi semakin pintar, teknologi boleh berkembang pantas dan modal boleh terus mengalir, namun semua itu tidak banyak ertinya tanpa manusia yang memiliki ilmu, kemahiran dan nilai.

Itu mesej yang diketengahkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucaptama pada WorldSkills Shanghai 2026, ketika Malaysia memberi penekanan baharu kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menurut Anwar, kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan kecanggihan teknologi atau jumlah modal yang dimiliki, sebaliknya kualiti modal insan menjadi penentu utama.

“Penentu atau indikator utama adalah manusia, yakni ilmu yang dikuasai, kemahiran yang digarap serta nilai yang menjadi pembimbing dalam setiap tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar berkata Malaysia sedang memperkukuh TVET 2.0 menerusi kerjasama lebih erat antara institusi latihan dan industri, terutama dalam bidang yang mempunyai kaitan dengan ekonomi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan tenaga boleh baharu.

Beliau berkata pendekatan itu penting supaya anak muda bukan sekadar menjadi tenaga kerja yang mengikut perubahan teknologi, tetapi turut mempunyai keupayaan untuk menguasai serta mencorakkan perubahan tersebut.

“Kita tidak mahu anak muda sekadar menjadi tenaga kerja kepada perubahan, tetapi menjadi generasi yang menguasai perubahan lantas turut bersama mencorak arah dan masa depan negara.”

Dalam ucaptamanya, Anwar turut menyentuh penyertaan 22 anak muda Malaysia dalam 21 bidang kemahiran pada WorldSkills Shanghai 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 27 September. Pertandingan itu menghimpunkan sekitar 1,400 peserta muda dari lebih 65 negara dan wilayah.

Anwar berkata beliau bangga dengan peserta Malaysia yang berada di pentas antarabangsa itu, sambil mengingatkan bahawa penyertaan mereka bukan semata-mata untuk mengejar kemenangan.

“Yang kita rebutkan tidak semata kemenangan, tetapi keberanian untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia, belajar dari pengalaman dan pulang ke tanah air dengan tekad untuk meninggikan mutu dan standard negara.”

Malaysia menyertai pertandingan itu menerusi misi “Road to Gold”, dengan sasaran meraih pingat emas pertama negara dalam WorldSkills.

Pada masa sama, Anwar menegaskan pembangunan kemahiran tidak boleh dipisahkan daripada pembentukan nilai. Menurutnya, kemahiran yang tinggi tanpa panduan nilai boleh menghasilkan kemajuan yang tidak seimbang.

“Kemahiran tanpa nilai akan memunculkan kemajuan yang tempang dan tidak seimbang.”

Katanya, Malaysia mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja cekap mengendalikan teknologi, tetapi turut memahami soal keadilan, maruah insan serta tanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan negara.

“Kemajuan yang hakiki adalah apabila teknologi mengangkat manusia dan nilai, dan bukan sebaliknya.”

Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut menegaskan tenaga teknikal kekal penting walaupun teknologi dan perisian semakin maju, termasuk untuk memastikan operasi industri seperti pengeluaran semikonduktor dan loji kenderaan elektrik terus berjalan.

Jadi, dalam perlumbaan menuju ekonomi berteknologi tinggi, persoalannya bukan lagi sekadar siapa memiliki mesin paling canggih tetapi siapa yang mempunyai manusia paling bersedia untuk menguasai mesin tersebut.

BACA JUGA Mahfuz saran MB N. Sembilan undur diri kalau tak mampu pulihkan hubungan dengan Istana