HSR memang selesa, tetapi saya pilih baiki sekolah dulu – Anwar
Pengalaman menaiki kereta api berkelajuan tinggi (HSR) dari Shanghai ke Hangzhou mungkin membuka mata kepada kelebihan sistem itu, tetapi bagi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia belum sampai ke tahap untuk mengejar semua kemudahan tersebut serentak.
Sebaliknya, kerajaan akan memberi tumpuan kepada Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan langkah seterusnya dalam pembangunan pengangkutan rel berkelajuan tinggi.
Anwar berkata keputusan membangunkan infrastruktur pengangkutan perlu mengambil kira kos, kemampuan negara dan keupayaan melaksanakan projek mengikut jadual, selain perlu diseimbangkan dengan keutamaan pembangunan lain.
“Ya, tentulah kita tengok khidmat dan kelajuannya dan keindahannya, kecepatannya, semua terbaik. Tapi kita tengok ECRL sajalah dulu.
“Kemudian beberapa langkah lain dibuat, kita tentunya terikat dengan kos, dengan pelaksanaannya ikut jadual,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika ditemui media dalam perjalanan menggunakan HSR dari Shanghai menuju Hangzhou, hari ini, selepas ditanya mengenai pengalamannya menaiki sistem pengangkutan berkenaan serta kemungkinan mengambil inspirasi daripada sistem rel China untuk Malaysia.
Menurutnya, perjalanan Shanghai-Hangzhou merupakan pengalaman pertamanya menaiki HSR di China. Sebelum ini, beliau pernah menggunakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi di Jepun selain perjalanan kereta api dari Paris ke London.
Beliau mengakui pengalaman menggunakan HSR dari segi kelajuan dan perkhidmatan sememangnya baik, namun tidak bermakna Malaysia perlu terus meniru atau memperluaskan sistem berkenaan tanpa mengambil kira kemampuan kewangan serta keutamaan negara.
Malah, ketika menyentuh soal keutamaan pembangunan, Anwar memberikan contoh yang lebih dekat dengan kehidupan rakyat sekolah yang memerlukan pembaikan.
“Di antara banyak lagi jenis pengangkutan, keutamaan lain dengan sekolah, saya pilih baiki sekolah dulu,” katanya.
Kenyataan itu memberikan gambaran bahawa pembangunan infrastruktur negara, menurut Anwar, perlu dilihat berdasarkan urutan keutamaan, bukannya semata-mata mengejar teknologi atau kemudahan paling moden.
Dalam konteks pengangkutan rel, ECRL kini menjadi antara projek yang diberi tumpuan sebelum kerajaan melihat langkah seterusnya berkaitan sistem kereta api berkelajuan tinggi. Anwar turut menegaskan sebarang projek baharu perlu mempunyai perancangan kos dan pelaksanaan yang munasabah.
Lawatan Anwar ke China kali ini adalah atas undangan kerajaan negara itu, termasuk menghadiri dan menyaksikan WorldSkills Shanghai 2026.
Beliau turut dijadualkan mengadakan pertemuan serta jamuan makan malam bersama Perdana Menteri China, Li Qiang, di Hangzhou.
BACA JUGA RENCANA | Episod malang di Negeri Sembilan