Langgar ikrar taat setia, pembatalan 10 Exco Negeri Sembilan kini masuk Warta Kerajaan

Pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan kini direkodkan secara rasmi dalam Warta Kerajaan Negeri hari ini.

Warta bernombor N.S. P.U. 18 itu diterbitkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dengan tajuk Pembatalan Pelantikan Sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Dokumen itu menyatakan bahawa menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri selain Menteri Besar memegang jawatannya selama diperkenankan Yang di-Pertuan Besar.

Warta berkenaan turut menyenaraikan 10 Exco terbabit iaitu Mohd Faizal Ramli, Zaifulbahri Idris, Mustapha Nagoor, Siow Kong Choon, Siti Nur Umaira Hasim, Mohd Asna Amin, Mohd Razi Mohd Ali, Suhaimizan Bizar, Mohd Fairuz Mohd Isa dan Razali Abu Samah.

Kesemua mereka dinyatakan telah mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir pada 7 Ogos lalu, sebelum mengambil tempat sebagai anggota Exco negeri.

Kenyataan Istana sebelum ini turut menyebut mereka dilantik selepas mengangkat sumpah dan ikrar taat setia pada tarikh berkenaan.

Warta itu seterusnya menyatakan pembatalan dibuat selepas mereka dianggap melanggar ikrar taat setia berkenaan, dengan perkenan terhadap pelantikan mereka ditarik balik.

Menurut dokumen tersebut, pembatalan pelantikan kesemua 10 Exco itu berkuat kuasa serta-merta pada 20 September 2026, walaupun warta berkenaan diterbitkan empat hari kemudian.

Sebelum ini, Istana Negeri Sembilan mengumumkan pembatalan pelantikan semua Exco pada 20 September dengan alasan mereka telah memungkiri sumpah jawatan, termasuk menerusi tindakan dan kenyataan pada 15 September.

Bagaimanapun, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim mempertikaikan tindakan tersebut.

Ismail berhujah bahawa dia tidak dirujuk atau memberikan nasihat berhubung pembatalan pelantikan berkenaan, serta menegaskan barisan Exco sedia ada masih sah berdasarkan tafsirannya terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Warta Kerajaan itu sekaligus menyaksikan barisan mantan Exco Negeri Sembilan terbabit muncul antara yang paling singkat dalam rekod moden negeri itu dengan hanya 44 hari antara angkat sumpah dan tarikh pembatalan pelantikan.

BACA JUGA PM Anwar berdukacita kehilangan abang