Terharu ada yang menangis dapat bantuan RM1,800, PM Anwar mahu tambah peruntukan usahawan kecil

Terharu ada yang menangis dapat bantuan RM1,800, PM Anwar mahu tambah peruntukan usahawan kecil

Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa amat terharu apabila terdapat usahawan kecil yang menangis ketika bertemu dan mengucapkan terima kasih kepadanya selepas menerima bantuan kerajaan, walaupun jumlahnya hanya RM1,800.

Perdana Menteri berkata, penghargaan yang ditunjukkan golongan berkenaan mendorong beliau untuk menambah peruntukan bagi membantu usahawan kecil menerusi Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan bulan depan.

“Saya sebenarnya sangat terharu kerana mereka ini (usahawan kecil) sangat berterima kasih dengan bantuan yang diberikan.

“Apabila mereka jumpa saya walaupun dapat bantuan kecil (contoh) ada yang dapat RM1,800 tapi mereka sampai menangis bila jumpa saya, berterima kasih dengan saya.

“Dalam belanjawan bulan depan, Insya-Allah saya nak tambah peruntukan untuk usahawan kecil macam ini,” katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit di Alor Setar, hari ini.

Menambah pendapatan

Menurutnya, kerajaan bersedia meningkatkan bantuan bagi membolehkan lebih ramai usahawan kecil mengembangkan perniagaan, sekali gus menambah pendapatan mereka.

Antara bantuan yang diberikan termasuk penyediaan peralatan asas seperti mesin jahit, peti sejuk dan peralatan membuat kuih mengikut keperluan perniagaan masing-masing.

Beliau menjelaskan, terdapat usahawan yang sudah menjalankan perniagaan bertahun-tahun tetapi pendapatan mereka masih tidak meningkat akibat kekurangan peralatan yang sesuai.

“Orang ini sudah buat kuih 10 tahun, tetapi pendapatan tidak meningkat kerana alat yang ada hanya mampu menghasilkan setakat itu sahaja.

“Jadi kita beri dan tengok dua bulan lagi berapa pendapatan dia, naik atau tidak, mereka ini perlu lakukan dengan bersungguh-sungguh,” katanya.

Sehubungan itu, Anwar mahu kerajaan turun padang bagi mengenal pasti keperluan sebenar usahawan sebelum menentukan bantuan yang sesuai untuk mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa bantuan perlu disalurkan secara terus tanpa melalui terlalu banyak lapisan agensi atau proses yang boleh melambatkan penerimaannya.

Pada masa sama, Perdana Menteri menggalakkan masyarakat dan usahawan kecil membantu mengenal pasti individu lain di kawasan masing-masing yang rajin berniaga serta layak menerima bantuan.

“Kalau ada kawan lain (usahawan) yang patut diberikan bantuan atau peluang, nanti ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) tentukan cara mana dia boleh bantu. Saya lebih suka cara begitu.

“Begitu juga kalau ada usahawan kecil lain yang mereka kenal di kampung lain yang rajin, mereka boleh maklumkan kepada kita untuk bantuan seterusnya,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA ‘Saya penyokong Pas tapi YB buat kerja tetap saya sokong’, usaha Dr Hafidzah di Kota Lama raih pujian