Anwar arah Istiadat Pengebumian Pembesar Negara buat Tun Dr Siti Hasmah, titip doa buat Tun M

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali diberikan penghormatan menerusi Istiadat Pengebumian Pembesar Negara susulan pemergian isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu, pagi tadi.

Anwar berkata, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu urusan pengebumian serta memastikan Allahyarhamah diberikan penghormatan berkenaan.

Arahan tersebut diumumkan Perdana Menteri menerusi kenyataan rasmi hari ini, selepas Tun Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur.

Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, Anwar turut menzahirkan rasa dukacita serta merakamkan ucapan takziah atas pemergian Allahyarhamah.

Menurut beliau, negara akan terus mengenang keperibadian Tun Siti Hasmah sebagai seorang tokoh yang memiliki sifat keibuan serta menghargai segala jasa dan sumbangan Allahyarhamah.

“Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Anwar turut menitipkan ingatan dan doa khusus buat Dr Mahathir serta seluruh ahli keluarga yang sedang berdepan kehilangan insan tersayang.

Beliau mendoakan agar Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarhamah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman.

Pemergian Tun Siti Hasmah menyaksikan negara kehilangan seorang tokoh wanita yang turut dikenang menerusi peranannya dalam kehidupan masyarakat dan sejarah negara.

BACA JUGA Tun Siti Hasmah kembali ke rahmatullah