Kerajaan cari pendekatan seimbang soal gaji minimum pekerja PMKS
Kebajikan pekerja terus menjadi keutamaan kerajaan, namun pada masa sama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tidak akan dibebankan dengan kenaikan kadar gaji minimum baharu buat masa ini.
Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini selepas kerajaan mengambil kira tekanan kos operasi serta cabaran ekonomi semasa yang dihadapi perniagaan tempatan, khususnya PMKS.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim berkata, keputusan itu tidak bermakna usaha meningkatkan pendapatan pekerja diketepikan, sebaliknya kerajaan akan menggunakan pendekatan lain bagi memastikan peningkatan gaji dapat dilaksanakan secara lebih mampan.
Katanya, antara mekanisme yang akan digunakan ialah sokongan subsidi gaji menerusi Dasar Gaji Progresif, dengan peningkatan pendapatan pekerja digerakkan seiring dengan peningkatan produktiviti.
“Saya membangkitkan isu gaji minimum dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini. Kabinet bersetuju bahawa gaji rakyat perlu terus ditingkatkan.
“Namun, kita juga perlu melindungi perniagaan tempatan, khususnya PMKS yang sedang berdepan tekanan kos operasi dan cabaran ekonomi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pendekatan berkenaan dibuat ketika kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan peningkatan kadar gaji minimum, termasuk cadangan RM2,000 yang sebelum ini dibangkitkan sebagai antara perkara yang bakal diputuskan dalam Belanjawan 2027.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebelum ini berkata sebarang cadangan peningkatan gaji minimum perlu mengambil kira keseimbangan antara kebajikan pekerja dengan kelangsungan majikan, khususnya PMKS.
Beliau dilaporkan berkata pengumuman rasmi mengenai perkara itu akan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2027 bulan depan.
Dalam pada itu, Steven berkata matlamat kerajaan adalah memastikan pekerja memperoleh gaji yang lebih wajar, sementara PMKS terus mempunyai keupayaan untuk berkembang serta menyediakan peluang pekerjaan.
“Matlamat kita jelas, iaitu membela kebajikan pekerja dengan gaji yang lebih wajar.
“Sementara PMKS kekal berdaya saing untuk terus berkembang dan menjana peluang pekerjaan,” katanya.
Dasar Gaji Progresif pula memberi penekanan kepada peningkatan gaji berdasarkan produktiviti dan peningkatan kemahiran pekerja, sekali gus menyediakan pendekatan alternatif bagi meningkatkan pendapatan tanpa hanya bergantung kepada mekanisme gaji minimum.
Kerajaan sebelum ini melaksanakan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa sepenuhnya kepada semua majikan mulai 1 Ogos 2025.
Keputusan terbaharu Kabinet itu memperlihatkan usaha kerajaan mencari titik keseimbangan antara peningkatan pendapatan pekerja dengan keupayaan PMKS menanggung kos operasi, terutama ketika sektor berkenaan terus menjadi antara penyumbang penting kepada ekonomi dan penyediaan peluang pekerjaan.
Dalam keadaan itu, kerajaan mengekalkan komitmen untuk meningkatkan taraf hidup pekerja, sambil memastikan langkah berkaitan gaji tidak menjejaskan kelangsungan perniagaan tempatan yang masih berdepan tekanan kos.
BACA JUGA Anwar bongkar 3 perkara anak muda perlu ada untuk pacu masa depan Malaysia