Bang Mat, Sanusi, Hamzah, KJ duduk semeja di majlis tahlil Tun Dr Hasmah
Kehadiran beberapa ahli politik daripada jalur parti berbeza yang duduk semeja ketika Majlis Tahlil dan Bacaan Yasin Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali malam tadi menarik perhatian ramai di media sosial.
Majlis di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad itu menghimpunkan ahli keluarga, sahabat dan kenalan yang hadir bagi mendoakan bekas suri hati bekas Perdana Menteri berkenaan.
Antara yang kelihatan hadir ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Terengganu yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut kelihatan Presiden AMANAH, Datuk Seri Mohamad Sabu yang mesra dipanggil Bang Mat; Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta bekas menteri Umno, Khairy Jamaluddin (KJ) yang kini merupakan penyampai radio Hot FM sejak 2023.
Menerusi gambar yang dikongsi Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA) itu juga, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay turut dilihat hadir.
Penampilan ahli-ahli politik dari pelbagai jalur politik yang duduk bersama dalam suasana santai itu kemudian mengundang reaksi positif orang ramai.
“Seronok tengok bila mereka dalam satu meja…” tulis pengguna Facebook, Isma Ashraff.
Seorang lagi pengguna, Fathul Aziz turut menulis, “Best tengok keadaan macam ni… Alhamdulillah.”
BACA JUGA Belanjawan 2027 teliti tekanan kos, perluas peluang perusahaan Bumiputera