Bukan suka-suka masuk KLIA, AKPS kata operasi susulan aduan ‘ulat’ dan penyeludupan
Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjelaskan kehadiran Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di KLIA Terminal 1 bukanlah tanpa tujuan.
Menurut kenyataan media AKPS, kehadiran beliau adalah sebahagian daripada operasi susulan aduan berkaitan kegiatan “ulat” serta dakwaan peningkatan penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA.
Insiden yang kini tular berlaku pada 28 September lalu ketika Mohd Shuhaily mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi agensi itu di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.
Dalam tinjauan tersebut, beliau bersama pasukan operasi AKPS turut menjalankan penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat sebagai “ulat” di kawasan KLIA.
AKPS berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan aduan dan dakwaan orang ramai mengenai peningkatan kegiatan penyeludupan bahan terlarang dan kontraban yang dikatakan berlaku hampir setiap hari di KLIA.
Agensi itu menegaskan pengoperasian berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA secara menyeluruh dan konsisten.
Susulan operasi tersebut, seorang warga asing dikenal pasti sebelum dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut.
Tanpa PDRM
AKPS turut menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu hanya melibatkan pasukan operasi AKPS bersama AVSEC KLIA dan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan lain.
Dalam masa sama, AKPS mendakwa dua individu lain yang bukan sebahagian daripada pasukan operasi telah memasuki ruangan bagasi tanpa disedari pegawai dan merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS dengan warga asing tersebut tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit.
Agensi itu mendakwa tindakan berkenaan telah menimbulkan provokasi serta menjejaskan kewibawaan operasi dan individu yang terlibat secara langsung.
AKPS turut mengesahkan video yang tular adalah rakaman sebenar yang dipetik daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA Terminal 1.
Susulan penularan rakaman tersebut, Ketua Pengarah AKPS telah membuat laporan polis berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video itu bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, termasuk bagaimana rakaman berkenaan diperoleh dan disebarkan.
AKPS berkata, penyebaran rakaman itu dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi Ketua Pengarah serta agensi berkenaan.
Orang ramai dalam pada itu diminta tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.
BACA JUGA Sembang perpaduan Melayu, Pas akhirnya kitar semula naratif PH didominasi DAP