“Empat biji buah pala pun curi” – Nasihat nenek jadi pegangan bila jadi PM

Bila dah jadi Perdana Menteri, jangan curi dan jangan izinkan orang mencuri.

Itulah prinsip yang dipegang Perdana Menteri ketika mengimbau satu pengalaman zaman kanak-kanaknya yang sehingga kini menjadi pengajaran mengenai amanah, integriti dan dosa mengambil hak orang lain tanpa kebenaran.

Mengimbas ketika berusia sekitar lapan atau sembilan tahun, beliau berkata pernah mengambil beberapa biji buah pala dari sebuah kebun ketika berada di kampung bersama rakan-rakannya.

Katanya, ketika itu beliau menganggap perbuatan tersebut perkara kecil kerana hanya mengambil empat biji buah pala dan pemilik kebun pula merupakan jirannya.

“Saya masa kecil, saya di pekan Bukit Mertajam. Tapi pada hujung minggu saya ke kampung. Di kampung itu saya berkawan dan kadang-kadang kita naik bukit.

“Di situ ada kebun, buah pala. Jadi sekali saya naik, saya masih sekolah rendah, mungkin sembilan, 10 tahun.

“Bila balik, ada buah pala di ladang kecil itu. Saya kutip, kutip, kutip, kutip, lari, ambil. Saya balik ke rumah,” katanya.

Namun, kepulangannya ke rumah membawa kepada satu teguran yang tidak dilupakannya apabila neneknya, Aisyah, bertanyakan dari mana buah pala tersebut diperoleh.

“Nenek saya tanya, ‘Ini buah pala dari mana?’

“Saya kata, ‘Saya ambil daripada ladang itu, ladang kecil itu.’

“Dia tanya, ‘Dia minta beli ke? Jiran tak? Ada kebenaran ke?’”

Menurutnya, ketika itu beliau cuba memberikan alasan bahawa kebun berkenaan milik orang Cina, seolah-olah perkara itu menjadikan perbuatannya kurang salah.

“Saya kata, ‘Itu daripada ladang Cina.’

“Dia ingat ladang Cina, Melayu curi okeylah kot. Saya umur lapan, sembilan tahun,” katanya.

Namun, alasan tersebut tidak diterima neneknya yang menegaskan bahawa mengambil sesuatu tanpa kebenaran tetap merupakan perbuatan mencuri.

“Nenek saya kata, ‘No, kalau ambil tanpa kebenaran, daripada siapa juga walaupun empat biji buah pala, hukumnya itu curi. Dan mencuri itu dosa,”ceritanya ketika berucap pada Forum Ekonomi Belia (YEF) 2026. 

Menurutnya, ketika itu sudah hampir waktu Maghrib dan keadaan semakin gelap, namun neneknya tetap mengarahkannya memulangkan buah pala tersebut.

“Saya kata, ‘Tak apalah, apalah, okeylah, okeylah. Tak makan, tak apalah. Saya simpan untuk hantar esok pagi.

“Nenek saya kata, ‘No, curi orang punya.

“Saya kata, ‘Tapi itu Cina, ladang Cina.’

“Nenek saya kata, ‘Hukumnya curi. Jadi kena hantar balik.’”

Beliau berkata walaupun takut kerana perlu kembali ke kebun seorang diri ketika hari semakin gelap, arahan neneknya tetap dipatuhinya.

“Saya berlari dari Jalan Klang Ubi, masuk Jalan Kolam, naik bukit, bunyi anjing, saya takut. Hampir dah malam, lepas Maghrib.

“Saya ambil empat buah pala itu, baling balik ke kawasan itu kerana saya takut.

“Saya lari balik menangis,” katanya.

Menurutnya, ketika kecil beliau tidak memahami mengapa neneknya begitu tegas terhadap perkara yang dianggap kecil, malah beranggapan buah tersebut boleh sahaja dipulangkan pada keesokan harinya.

“Saya tak faham kenapa nenek saya begitu keras jaga disiplin, padahal curi empat biji buah pala dan saya boleh hantar besok.

“Tapi itu mengajar saya,” katanya.

Daripada pengalaman kecil itu, beliau berkata prinsip tersebut kemudiannya menjadi lebih besar apabila seseorang memegang amanah dan kuasa.

“Bila dah jadi Perdana Menteri, jangan curi dan jangan izinkan orang mencuri.”

Beliau berkata ukuran integriti tidak seharusnya berubah hanya kerana seseorang sudah memegang jawatan tinggi atau nilai yang terlibat menjadi lebih besar.

“Pada besarnya pemimpin, curi bilion ringgit, okeylah. Ini belajar apa? Ilmu apa? Adab apa? Akhlak apa yang dipelajar? Sebab itu dilatih bila kecil,” katanya.

Pesanan tersebut, katanya, menunjukkan pendidikan mengenai integriti bukan sesuatu yang hanya perlu diajar selepas seseorang menjadi pemimpin, sebaliknya perlu dibentuk sejak kecil melalui disiplin, keluarga dan contoh dalam kehidupan seharian.

BACA JUGA 4.2 juta warga emas: Malaysia perlu bersedia hadapi status negara tua